AKMAL SASAR 50 PERATUS ADUAN INTERNET SELESAI DALAM SETAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

MERLIMAU 24 November – Kerajaan Negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada 700 aduan berkaitan masalah liputan komunikasi dan internet di Melaka dapat diselesaikan dalam tempoh setahun.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sasaran itu menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) jawatankuasa khas yang baharu ditubuhkan bagi menangani masalah liputan komunikasi di seluruh negeri.

“Bila buka di Facebook saya sendiri, kita menerima hampir 700 aduan. Ada yang mungkin satu kawasan itu dua tiga aduan daripada orang yang sama.

“Jadi kita sudah sorting (saring) aduan-aduan tersebut dan lokasi terlibat bagi memudahkan tindakan penyelesaian dilaksanakan secara lebih tersusun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan pemeriksaan di kawasan yang mengalami gangguan liputan telekomunikasi dan internet di Bandar Botani Parkland, Jasin Bestari, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai lawatan itu, Akmal berkata beliau sudah berbincang mengenai pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi menyelesaikan isu tersebut termasuk menetapkan tempoh pelaksanaan.

“Kita harap masalah di lokasi pertama (Bandar Botani Parkland) ini dapat diselesaikan dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

“Untuk jangka pendek, kita minta talian tetap disediakan dalam tempoh sebulan, manakala penyelesaian jangka panjang membabitkan pembinaan menara telekomunikasi,” katanya.

Lawatan tersebut turut disertai syarikat telekomunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta agensi berkaitan bagi mengenal pasti kaedah penyelesaian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

183
Kongsi :
Previous post JANJI MANIFESTO 100 HARI JADI KEUTAMAAN RAIS
Next post AYAM MENTAH MRSM: PENGUSAHA KANTIN CUAI WAJAR DISENARAIHITAM – RIDHWAN