CSR SAMBIL KENALI HIDUPAN LIAR, ZOO MELAKA SEDIA PLATFORM

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 25 November – Zoo Melaka membuka peluang lebih luas kepada badan korporat, syarikat swasta dan individu untuk menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi pelbagai aktiviti interaktif menggabungkan elemen rekreasi, pendidikan atau kebajikan masyarakat.

Pegawai Hidupan Liar Zoo Melaka, Nadia Eddy berkata, selain menjadi antara tarikan pelancongan utama negeri, zoo berkenaan turut menawarkan pelbagai pakej aktiviti yang sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat termasuk Zoomanji, Zoolunteer, aktiviti bina pasukan (team building) dan hari keluarga.

Menurutnya, pendekatan itu memberi peluang kepada sektor korporat melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dalam suasana lebih santai, selain menyantuni golongan memerlukan menerusi pengalaman pembelajaran berkaitan hidupan liar.

Katanya, sambutan daripada sektor korporat amat menggalakkan, termasuk penyertaan terbaharu Kelab Sukan dan Rekreasi Affin Bank yang menganjurkan program CSR dan Zoomanji bersama anak-anak dari Rumah Anak-Anak Yatim Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj serta Kompleks Anak Yatim Fatimah Al-Zaharah (KAYFAZ).

“Bagi ahli korporat dan syarikat lain, mereka juga boleh datang ke Zoo Melaka untuk mengadakan program CSR, Zoomanji, aktiviti team building, hari keluarga dan pelbagai lagi sambil menyantuni golongan memerlukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pegawai Bahagian Jualan dan Pemasaran Zoo Melaka, Ezuwan Mazelan berkata, pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan daripada badan korporat, syarikat swasta dan individu bagi menyokong operasi serta kebajikan haiwan di zoo berkenaan.

Katanya, menerusi program terbaharu itu, Zoo Melaka menerima sumbangan sebuah gazebo dan pelaksanaan aktiviti penanaman pokok, selain sumbangan ikhlas kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bagi membantu kebajikan anak-anak yatim di negeri ini.

“Bagi badan korporat atau individu yang berhasrat menyumbang kepada Zoo Melaka, kami amat mengalu-alukan sumbangan sama ada dalam bentuk wang ringgit mahupun barangan keperluan makanan haiwan.

“Mana-mana pihak yang berhajat bolehlah berhubung terus dengan pihak kami,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Sukan dan Rekreasi Affin Bank, Roslinda Ahmad Shah berkata, Zoo Melaka merupakan lokasi sesuai untuk penganjuran program CSR kerana berperanan sebagai medium pendidikan dan perkongsian ilmu secara santai, khususnya kepada anak-anak yatim.

“Ia memberi mereka pelajaran, pendedahan serta pengalaman untuk bersama-sama mengenali haiwan-haiwan yang ada di sekitar mereka,” katanya.

Bagi organisasi yang berminat, bolehlah membuat tempahan menerusi talian 011-1285 2789 atau 018-260 9063.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

727
Kongsi :
Previous post SUNGAI DAN PESISIR PANTAI MELAKA BAKAL LEBIH MENARIK, PPSPM LONJAK MUTU PERKHIDMATAN