
DR. AKMAL MAHU AKSES INTERNET JADI KEUTAMAAN KERAJAAN NEGERI
MERLIMAU 26 November – Kemudahan akses internet asas perlu dipastikan tersedia kepada seluruh rakyat sebelum Melaka melangkah lebih jauh dalam agenda pembangunan bandar pintar (smart city) dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, usaha menangani masalah liputan komunikasi perlu diberi keutamaan bagi memastikan rakyat tidak tercicir daripada arus pembangunan digital.
Katanya, agenda pembangunan teknologi lebih maju tidak akan memberikan manfaat sepenuhnya sekiranya masih terdapat penduduk yang berdepan kesukaran mendapatkan kemudahan internet asas.
“Kalau rakyat kita tidak dapat akses internet asas, sebelum kita bercakap tentang ‘smart city’, teknologi AI dan sebagainya, semua itu akan menjadi sia-sia.
“Sebab itu keutamaan kita adalah memastikan rakyat mendapat kemudahan internet asas terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan pemeriksaan di kawasan yang mengalami gangguan liputan telekomunikasi dan internet di Bandar Botani Parkland, Jasin Bestari, di sini, pada Selasa.
Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, usaha menangani isu liputan komunikasi itu akan diteruskan ke seluruh negeri bagi memastikan lebih ramai penduduk menikmati akses internet yang diperlukan dalam kehidupan seharian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

