MELAKA PERSIAPKAN TENAGA KERJA MASA HADAPAN

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SERI NEGERI 27 November – Penguasaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), pengurusan data raya (big data) dan automasi menjadi antara fokus utama Kerajaan Negeri dalam membangunkan modal insan bagi merealisasikan aspirasi menjadikan Melaka sebagai Human Capital Hub 2035.

Exco Kesihatan dan Modal Insan negeri, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, pembangunan sumber manusia berkualiti amat penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Melaka yang bergantung kepada sektor pelancongan dan pembuatan.

Menurutnya, sebagai sebuah negeri bersaiz kecil dengan populasi melebihi sejuta penduduk serta tidak memiliki sumber alam semula jadi yang besar, keupayaan tenaga kerja menjadi antara aset utama dalam memacu pembangunan negeri.

Katanya, terdapat beberapa keutamaan yang akan diberi perhatian dalam agenda pembangunan modal insan, bermula dengan memastikan kesihatan, keselamatan dan kebajikan tenaga kerja sedia ada sentiasa terpelihara.

“Kedua, walaupun kadar pengangguran di Melaka antara yang terendah berbanding peringkat kebangsaan, agensi sedia ada akan terus mempergiat usaha pemadanan kerja (job matching) agar pencari kerja mendapat pekerjaan yang sesuai.

“Ketiga, kita mahu meningkatkan daya saing sumber manusia supaya mereka menguasai teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), pengurusan data raya (big data) serta teknologi automasi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Seri Negeri.

Ban Hong berkata, usaha memperkukuh kemahiran tenaga kerja turut dilaksanakan menerusi peluasan program latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling).

Menurutnya, inisiatif berkenaan bukan sahaja menyasarkan pekerja sedia ada, malah turut diperluaskan kepada golongan ibu muda, wanita serta belia bagi meningkatkan peluang mereka menyertai pasaran pekerjaan.

Katanya, penguasaan kemahiran dan teknologi dalam kalangan rakyat akan menjadi kelebihan kepada Melaka untuk menarik lebih banyak pelaburan, selain memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pilihan sektor industri.

Beliau berkata, pembangunan modal insan yang selari dengan keperluan industri masa hadapan penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan, berdaya saing dan mampu memenuhi permintaan pasaran pekerjaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

275
Kongsi :
Previous post MAIM TAJA KAKITANGAN TUNAI UMRAH SEJAK 2011 TANDA PENGHARGAAN