
MELAKA TAMPUNG CARUMAN PERKESO, HARGAI PERANAN PENGAYUH BECA
DUYONG 27 November – Lebih 300 pengayuh beca di Melaka menerima manfaat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan pengayuh beca dilindungi caruman PERKESO dan sebagai menghargai sumbangan mereka dalam mewarnai sektor pelancongan negeri.
“Di Melaka selain memberi lesen, Kerajaan Negeri turut menyediakan caruman PERKESO kepada lebih 300 pengayuh beca.
“Setiap seorang dicarumkan dengan nilai kira-kira RM170 jadi ini antara inisiatif kebajikan dilaksanakan memandangkan mereka adalah barisan hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Taklimat Pengayuh Beca Negeri Melaka 2026 di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, pada Selasa.
Terdahulu, majlis disempurnakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan hadir sama Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka, Nasrul Ahmad serta Setiausaha MBMB, Muhammad Firdaus Shariff.
Menurut Shadan, pihaknya juga mewujudkan sistem perkhidmatan pengayuh beca menerusi i-Traffic MBMB sebagai fungsi baharu yang lebih mesra pengguna sejak lebih setahun lalu.
“Menerusi sistem i-Traffic, penumpang boleh menempah perkhidmatan beca secara terus, di mana aplikasi ini bukan hanya membolehkan tempahan dibuat tetapi turut menyediakan maklumat lengkap mengenai pengayuh beca termasuk nombor telefon, nombor lesen serta pengenalan diri mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


