
SPM BUKAN SEKADAR PEPERIKSAAN, TETAPI PENENTU HALA TUJU ANAK MELAKA
LENDU 26 November – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan sekadar menjadi kayu ukur pencapaian akademik, sebaliknya memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju masa depan setiap pelajar, khususnya anak jati Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, setiap calon perlu memberikan perhatian serius terhadap peperiksaan itu sebagai langkah awal membina masa depan yang lebih cemerlang.
Menurut beliau, penguasaan subjek Matematik juga perlu diberi penekanan kerana ia menjadi antara asas penting dalam membuka peluang kejayaan selepas tamat alam persekolahan.
Katanya, keupayaan menguasai mata pelajaran berkenaan bukan sahaja membantu pelajar mencapai keputusan cemerlang dalam SPM, malah menjadi bekalan untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan.
“Kali ini saya hadir untuk berjumpa dan memberikan motivasi kepada calon yang menduduki peperiksaan SPM bagi kertas Matematik. Diharapkan setiap kata yang saya titipkan menyuntik semangat dan menjadikan calon lebih bersedia untuk menjawab peperiksaan.
“Saya mahu setiap anak Melaka mempersiapkan diri bukan sahaja untuk peperiksaan ini, tetapi menghadapi cabaran apabila tamat persekolahan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Menyantuni Calon SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alauddin (SEMESA), di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor serta Pengetua SEMESA, Badrul Hisham Abd Karim.
Ab Rauf turut mendoakan agar semua calon SPM di Melaka memperoleh keputusan cemerlang dan seterusnya muncul sebagai generasi berilmu, berkemahiran serta mampu menyumbang kembali kepada pembangunan serta kemakmuran negeri.
Beliau berharap suntikan motivasi dan sokongan yang diberikan dapat meningkatkan keyakinan calon untuk menghadapi peperiksaan, sekali gus menjadi pemangkin kepada kejayaan mereka pada masa hadapan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


