375 PROGRAM, 93,710 PENYERTAAN SEMARAK PERPADUAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 28 November – Sebanyak 375 program di bawah Inisiatif Komuniti Perpaduan Melaka berjaya dilaksanakan dengan merekodkan penyertaan keseluruhan 93,710 orang bagi tempoh 2023 hingga September 2026.

Exco Pelancongan, Warisan, Budaya dan Perpaduan negeri, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan berkata, pelbagai aktiviti turut digerakkan menerusi Tabika dan Taska Perpaduan bagi mengembangkan bakat, kreativiti serta potensi kanak-kanak, selain menyemai nilai perpaduan sejak usia awal.

Menurutnya, antara program dilaksanakan termasuk Menu Sihat Perpaduan, Sukaneka Perpaduan, Pintar Kreatif, Pertandingan Inovasi Tabika dan Taska Perpaduan serta Sambutan Hari Kanak-Kanak.

“Pelaksanaan aktiviti ini bukan sahaja memberi ruang kepada kanak-kanak meneroka kebolehan masing-masing, malah menjadi medium memupuk nilai perpaduan, semangat kebersamaan dan penghargaan terhadap kepelbagaian sejak usia awal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Program Generasi Cilik Perpaduan: Hari Konvokesyen Tabika Perpaduan dan Taska Perpaduan Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 di Dewan World Youth Foundation (WYF), di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Melaka, Intan Suhana Yusuff serta Timbalan Pengarah JPNIN Negeri Melaka, Kristina Sipin.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata, usaha memperkukuh perpaduan menerusi pendidikan awal itu selaras dengan aspirasi ‘Bersama Membina Negara Bangsa’ yang menekankan pembentukan masyarakat bersatu padu serta saling menghormati kepelbagaian.

Katanya, pendedahan kepada aktiviti berteraskan perpaduan sejak di bangku tabika penting bagi membentuk generasi yang bukan sahaja mempunyai kemahiran dan kreativiti, malah memahami nilai hidup bersama dalam masyarakat berbilang kaum.

“Saya percaya setiap program yang dilaksanakan ini dapat menyampaikan mesej perpaduan dengan lebih berkesan kepada golongan sasar secara menyeluruh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

229
Kongsi :
Previous post PENDUDUK LEGA EXCO SEGERA TURUN PADANG LERAI MASALAH INTERNET ‘SLOW’