
SAMBUTAN NOVEMBER BULAN KELUARGA SASAR TARIK 1,000 PENGUNJUNG
BANDARAYA MELAKA 26 November – Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 di Gadek Hot Spring, Alor Gajah, Sabtu ini dijangka mampu menggamit sehingga 1,000 orang pengunjung.
Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, sasaran itu bersandarkan kepada pelbagai pengisian berbentuk kekeluargaan termasuk kemasukan percuma kepada 700 pengunjung terawal.
Katanya, program berkenaan dianjurkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Melaka dan memasuki edisi ketiga sejak mula diperkenalkan pada 2023.
“Sambutan tahun ini bertemakan ‘Kasih Keluarga Jiwa Negara’ bagi menyampaikan mesej bahawa keluarga bahagia menjadi asas kepada pembentukan masyarakat sejahtera, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara.
“Tarikan utama adalah kemasukan percuma bagi 700 orang terawal, pengunjung seterusnya juga boleh turut serta dengan membeli tiket harga istimewa cuma RM13 berbanding harga biasa RM20,” katanya.
Khaidhirah berkata demikian ketika ditemui selepas bersiaran langsung pada program Apa Khabau YB di MELAKAfm, di sini, hari ini.
Menurutnya, antara tarikan utama sambutan adalah Ekspo KASIH 7 Zon yang padat dengan pengisian bersesuaian dengan setiap peringkat kehidupan serta keperluan anggota keluarga.
“Menerusi pengisian ini kita mahu memberi ruang kepada keluarga untuk berehat seketika, tinggalkan rutin harian, nikmati suasana santai bersama insan tersayang.
“Pada sambutan ini LPPKN mengangkat nilai Kasih sebagai asas pembentukan keluarga sejahtera yang saling melengkapi” katanya.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim itu, Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan juga merupakan platform bagi mengingatkan masyarakat bahawa pembangunan keluarga perlu diberi perhatian secara berterusan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

