IMBASAN SEPANTAS 0.23 SAAT, PUTRA SPECIALIST HOSPITAL PACU ERA DIAGNOSTIK BAHARU

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

BANDARAYA MELAKA 27 November – Keupayaan pemeriksaan diagnostik Putra Specialist Hospital (PSH) Melaka kini meningkat sehingga 40 kes sehari berbanding sekitar 10 hingga 20 kes sebelum ini, selepas hospital berkenaan memperkenalkan sistem pengimejan tomografi berkomputer (CT Scan) terbaharu.

Ketua Pegawai Eksekutif PSH Melaka Sdn Bhd, Mohd Zahiruddin Ahmad berkata, penggunaan sistem Revolution Vibe Advanced CT Scan itu membolehkan tempoh pemeriksaan dipendekkan, sekali gus meningkatkan kapasiti hospital dalam memenuhi keperluan pesakit.

Menurutnya, peningkatan keupayaan berkenaan menjadi antara pertimbangan utama pihak hospital memilih teknologi itu bagi memastikan lebih ramai pesakit dapat menerima perkhidmatan diagnostik dengan lebih pantas dan efisien.

Katanya, sistem yang mula beroperasi kira-kira sebulan lalu itu telah digunakan oleh lebih 100 pesakit setakat ini.

“Teknologi ini menawarkan kelebihan dari segi kelajuan imbasan sepantas 0.23 saat bagi pemeriksaan jantung atau CT Cardiac, kejelasan imej serta penggunaan dos radiasi yang dioptimumkan mengikut keperluan klinikal dan keadaan pesakit.

“Malah, sistem ini mempunyai keupayaan menghasilkan imej yang masih boleh dibaca walaupun berlaku sedikit pergerakan pesakit, sekali gus membantu mengurangkan ketidakselesaan ketika pemeriksaan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Pelancaran Sistem Revolution Vibe Advanced CT Scan yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di Lobi Putra Specialist Hospital Melaka Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Mohd Zahiruddin berkata, perolehan sistem berkenaan merupakan satu langkah transformasi besar PSH memandangkan ia adalah pembelian pertama mesin CT Scan baharu oleh hospital itu dalam tempoh lebih 20 tahun.

Menurutnya, usaha memperbaharui kemudahan perubatan itu sebahagian daripada perancangan menyeluruh untuk meningkatkan mutu perkhidmatan serta memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap PSH.

“Kita tahu sebelum ini PSH pernah dikenali sebagai antara hospital pilihan di Melaka, tetapi seiring peredaran masa, kita perlu melakukan perubahan dari segi perkhidmatan dan peralatan.

“Alhamdulillah, menerusi proses transformasi ini, banyak pelaburan telah dibuat bagi memastikan hospital terus bergerak ke hadapan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata PSH turut menjalinkan kerjasama dengan GE HealthCare menerusi memorandum persefahaman (MoU) bersama GE South East Asia kira-kira dua bulan lalu bagi meneroka peluang penggunaan produk dan teknologi perubatan syarikat berkenaan.

Katanya, kerjasama itu turut membuka ruang kepada hospital memperkukuh kemudahan sedia ada termasuk Makmal Kateterisasi Jantung (Cath Lab) yang digunakan dalam prosedur rawatan jantung.

Mengulas perancangan seterusnya, Mohd Zahiruddin berkata PSH sedang merancang pelaburan baharu menerusi perolehan sistem Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) yang dianggarkan bernilai antara RM8 juta hingga RM9 juta.

Menurutnya, perancangan itu bukan sekadar bertujuan menambah peralatan baharu, sebaliknya memperluas keupayaan diagnostik hospital bagi memenuhi keperluan pesakit yang semakin meningkat.

“Teknologi perubatan berubah dengan sangat pantas. Sebab itu kita memilih sistem yang boleh dinaik taraf dari segi perisian, rangkaian dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Kita bukan sekadar mahu berbelanja, tetapi mahu memastikan PSH dapat menyediakan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan terus bergerak seiring kemajuan teknologi perubatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

247
Kongsi :
Previous post 3 AGENDA STRATEGIK PERKUKUH PSH SEBAGAI HOSPITAL DIYAKINI