MPHTJ BUKTIKAN INOVASI DIGITAL MAMPU JANA PENDAPATAN

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 28 November – Pelaksanaan inovasi digital bukan sahaja memudahkan urusan pelanggan, malah memberi pulangan kewangan apabila Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) berjaya menjana hasil sebanyak RM357,100 menerusi inisiatif transformasi digital bagi tempoh berakhir 31 Disember 2025.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, pencapaian itu membuktikan penggunaan teknologi secara strategik mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, selain membuka peluang kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) menjana hasil menerusi pendekatan lebih inovatif.

Katanya, antara inisiatif yang menyumbang kepada pencapaian itu ialah pelaksanaan Sistem Tandatangan Digital yang diperkenalkan Jabatan Kawalan Bangunan MPHTJ dengan kerjasama Pos Digicert sejak 1 Mac 2025.

“Sistem ini dibangunkan bagi membolehkan pengesahan identiti serta tandatangan dokumen dilaksanakan secara elektronik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kaedah konvensional.

“Inisiatif ini turut mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah Khas Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) daripada Ketua Setiausaha Negara pada 19 Oktober 2025, selain menerima Anugerah Khas Pertandingan Anugerah Inovasi MPHTJ pada 14 Ogos lalu.

“Saya berharap kejayaan ini menjadi contoh kepada jabatan dan unit lain untuk berani mengemukakan idea serta inovasi yang mampu menambah janaan hasil mengikut kreativiti masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ bagi November 2026 di Kompleks Melaka Mall, di sini, pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, Sapiah berkata, MPHTJ turut memperkukuh agenda pendigitalan menerusi pembangunan Sistem Pengemukaan Pelan Elektronik (SPeMPHTJ) dengan kerjasama Fujifilm bagi menambah baik pengurusan permohonan pelan bangunan.

Menurutnya, sistem itu membolehkan pihak perunding mengemukakan permohonan serta menyemak status secara dalam talian, selain memudahkan proses penerimaan, semakan, pemprosesan dan pengeluaran kelulusan pelan.

“Komunikasi antara MPHTJ, perunding dan pemilik bangunan juga dipermudah menerusi e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan WhatsApp, termasuk penyampaian peringatan berkaitan permit yang hampir tamat tempoh serta bayaran tertunggak.

“Kita berharap usaha pendigitalan ini dapat diperluaskan ke seluruh jabatan bagi menjadikan MPHTJ sebuah pihak berkuasa tempatan yang lebih cekap, responsif dan sistematik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

188
Kongsi :
Previous post 375 PROGRAM, 93,710 PENYERTAAN SEMARAK PERPADUAN MELAKA