700 MERIAHKAN SAMBUTAN BULAN KELUARGA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

GADEK 28 November – Kira-kira 700 ahli keluarga memeriahkan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung di Kompleks Air Panas Gadek, di sini, hari ini.

Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, pelbagai aktiviti dan pengisian disediakan bagi memberi peluang kepada masyarakat meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesejahteraan institusi keluarga.

Menurutnya, antara kelainan sambutan tahun ini ialah penganjuran Ekspo Kasih yang membabitkan penyertaan tujuh agensi kerajaan dengan menyediakan pelbagai maklumat, pameran serta taklimat berkaitan pembangunan dan kesejahteraan keluarga.

“Kelainan pada kali ini ialah kita mengadakan Ekspo Kasih yang membabitkan tujuh agensi dengan pelbagai input menarik untuk kemenjadian dan pembangunan sesebuah keluarga.

“Antaranya, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) serta agensi kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka di Kompleks Air Panas Gadek, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Aisyah Mahmood; Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga LPPKN Adzmel Mahmud; Pengarah LPPKN Negeri Melaka Suszma Khairitszi Mamat serta lain-lain kenamaan.

Khaidhirah berkata, sambutan itu turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan mamogram percuma menerusi bas bergerak LPPKN yang dibuka kepada pengunjung sebagai usaha meningkatkan akses kepada kemudahan saringan kesihatan.

Selain itu, pelbagai aktiviti rekreasi termasuk kemasukan percuma mandi-manda ke kolam air panas turut disediakan bagi membolehkan pengunjung menikmati masa berkualiti bersama keluarga dalam suasana santai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

243
Kongsi :
Previous post MELAKA MAHU BELIA KEMBALI DEKATI SUKAN TRADISIONAL – NADARAJAH
Next post MUZIUM SAMUDERA BAKAL BERWAJAH BAHARU, AKAN DITUTUP SEMENTARA