NEGARA MENUA: MELAKA PERKUKUH SOKONGAN KEPADA KELUARGA MUDA

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

GADEK 29 November – Sokongan kepada keluarga muda termasuk dari aspek penjagaan anak, pendidikan awal kanak-kanak dan kestabilan ekonomi perlu terus diperkukuh sebagai sebahagian persediaan menghadapi perubahan demografi Malaysia ke arah negara menua.

Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, keputusan pasangan untuk mempunyai anak dipengaruhi pelbagai pertimbangan termasuk kos kewangan, tanggungan, masa dan komitmen dalam membesarkan keluarga.

Menurutnya, perkara itu memerlukan perhatian kerana pembangunan institusi keluarga bukan sekadar melibatkan aspek kebajikan, malah turut merangkumi penyediaan sistem sokongan yang dapat membantu pasangan mengurus tanggungjawab berkeluarga.

“Persoalan yang selalu bermain dalam fikiran apabila berkeluarga adalah berapa orang anak yang kita sanggup tanggung dan besarkan.

“Ini kerana pelbagai faktor diambil kira termasuk kos, tanggungan masa dan komitmen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka di Kompleks Air Panas Gadek, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Aisyah Mahmood; Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Adzmel Mahmud; Pengarah LPPKN Negeri Melaka Suszma Khairitszi Mamat serta lain-lain kenamaan.

Khaidhirah berkata, antara usaha yang diberi perhatian Kerajaan Negeri termasuk menyediakan tajaan RM100 ke akaun Simpan SSPN bagi anak yang dilahirkan sebagai persediaan awal tabungan pendidikan mereka.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri turut meneliti peluang kerjasama dengan taska sedia ada bagi memudahkan akses kepada perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak yang lebih baik dan kos efektif.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

335
Kongsi :
Previous post PEMATUHAN UNDANG-UNDANG, PELESENAN ASAS SETIAP OPERASI PERNIAGAAN – AB RAUF