MELAKA PERLUAS SOKONGAN KELUARGA, INSENTIF BAHARU MENANTI 2027

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

GADEK 28 November – Kerajaan Negeri akan memperluas sokongan kepada institusi keluarga menjelang 2027 menerusi pemberian sagu hati kepada pasangan pengantin baharu berpendapatan bawah RM3,000, peningkatan insentif simpanan pendidikan bayi serta kesinambungan bantuan kepada ketua isi rumah berpendapatan rendah.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, komitmen itu mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan keluarga terus diberi perhatian mengikut keperluan dan kemampuan golongan sasar.

Menurutnya, pelbagai inisiatif pembangunan keluarga turut dilaksanakan menerusi kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), antaranya Program SMARTSTART 2.0 Praperkahwinan, Program Romantika Cinta serta Program Kebapaan dengan peruntukan hampir RM14,000.

“Menjelang tahun 2027, komitmen ini akan terus diperluas menerusi pemberian sagu hati kepada pasangan pengantin baharu yang mempunyai pendapatan bawah RM3,000, peningkatan insentif simpanan pendidikan bayi serta kesinambungan bantuan kepada ketua isi rumah berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka di Kompleks Air Panas Gadek, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Hadir sama, Timbalan Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Siti Aisyah Mahmood; Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga LPPKN Adzmel Mahmud; Pengarah LPPKN Negeri Melaka Suszma Khairitszi Mamat serta lain-lain kenamaan.

Ketua Menteri berkata, usaha membantu keluarga turut merangkumi penyediaan kediaman yang selesa dan selamat menerusi Program Melaka Rumahku yang menerima peruntukan lebih RM9.7 juta sepanjang tempoh tiga tahun.

Katanya, pelaksanaan program itu memberi manfaat kepada 266 keluarga menerusi pembinaan 113 rumah baharu dan kerja-kerja baik pulih 153 rumah.

Menurutnya, pendekatan menyeluruh itu selari dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi iltizam Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap keperluan rakyat disantuni dan tiada golongan terpinggir daripada arus pembangunan.

Beliau berkata, tumpuan turut diberikan kepada usaha merealisasikan komitmen manifesto bagi tempoh 100 hari pertama dan setahun pentadbiran supaya setiap janji dapat diterjemahkan kepada tindakan serta manfaat yang dapat dirasai rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

276
Kongsi :
Previous post SEMUA SEKOLAH DI MELAKA DIMINTA PERKUKUH SOP MAKANAN, PEKA ADUAN PELAJAR
Next post ‘PUTERA PUTERI DONDANG SAYANG X CABARAN ZAPIN’ HIDUPKAN WARISAN MELAKA