PROGRAM WARISAN SENI BUDAYA JADI PEMANGKIN PELANCONGAN LUAR BANDAR

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDA HILIR 29 November – Kerajaan Negeri berhasrat memperluas penganjuran program pelancongan berasaskan seni, budaya dan warisan ke kawasan luar bandar bagi mengetengahkan lebih banyak destinasi menarik di seluruh negeri ini.

Exco Pelancongan, Warisan, Budaya dan Perpaduan negeri Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan berkata, usaha itu penting bagi memastikan tarikan pelancongan Melaka tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya turut merangkumi luar bandar dalam daerah Alor Gajah dan Jasin.

Katanya, pelaksanaan program seperti pertandingan kebudayaan dan persembahan seni tradisional berpotensi menjadi tarikan tambahan kepada destinasi pelancongan sedia ada.

“Sudah semestinya dalam perancangan kita kena keluar daripada skop ini (kawasan Banda Hilir) kerana kita nak juga pelancong datang ke daerah Alor Gajah, datang ke daerah Jasin dan macam-macam tempat ada di Melaka ini.

“Pengisian seperti Program Dondang Sayang X Cabaran Zapin ini boleh sampai ke sana dan pada masa sama kita promosikan juga tempat-tempat pelancongan luar bandar ini kepada orang Melaka sendiri dan juga pelancong luar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penutup Putera Puteri Dondang Sayang X Cabaran Zapin di Dataran Menara Taming Sari, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Halil Mohamed Jaafar serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata, antara lokasi yang berpotensi diketengahkan termasuk di Tanjung Bidara, Pantai Siring dan pelbagai lagi lokasi luar bandar yang mempunyai tarikan tersendiri untuk diperkenalkan kepada pengunjung.

Jelasnya, perbincangan bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka juga akan diadakan bagi memastikan program seni dan budaya dapat diperluas sehingga ke kawasan kampung, termasuk membabitkan penyertaan masyarakat berbilang kaum.

“Langkah ini turut membuka peluang kepada golongan remaja luar bandar untuk menyertai pertandingan kebudayaan.

“Ia sekali gus membantu menjadikan seni warisan sebagai sebahagian daripada tarikan pelancongan negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

326
Kongsi :
Previous post KEM SOLAT JADI KEUTAMAAN 100 HARI PORTFOLIO AGAMA MELAKA