Tidak perlu buka PKRC tambahan di Melaka – Rahmad

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

SUNGAI UDANG 4 Mei. – Tiada keperluan membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri Melaka meskipun tiga daerah dikategorikan zon merah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, situasi COVID-19 di negeri ini agak membimbangkan dalam tempoh beberapa hari ini, yang mana ketiga-ketiga daerah iaitu Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah merekodkan lebih daripada 40 kes sehari.

Jelasnya, kerajaan negeri sebelum ini sudah beberapa kali memohon kelulusan untuk membuka PKRC di Melaka, namun Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) belum membenarkan berikutan asrama kolej jururawat Hospital Melaka dan PKRC di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor masih cukup untuk menampung jumlah pesakit COVID-19 bergejala ringan dari negeri ini.

“Kapasiti (katil) di kedua-dua lokasi itu masih cukup untuk menampung pesakit,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Op Hari Raya Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) di sebuah pasar raya di Sungai Udang di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ismail Ali.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kapasiti katil di Hospital Melaka (HM) setakat hari ini mencapai 60 peratus daripada 117 katil disediakan untuk menempatkan pesakit COVID-19 berisiko tinggi.

“Penggunaan PKRC asrama jururawat dan MAEPS Serdang setakat ini dapat mengurangkan penggunaan katil di HM selain ada juga pesakit yang menjalani isolasi di rumah.

“Bagaimanapun, penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) HM sudah mencapai penggunaan 90 peratus, namun penambahan katil boleh dipertingkatkan mengikut keperluan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Rahmad berkata setakat hari ini hampir 20 sekolah rendah dan menengah di negeri ini ditutup berikutan terdapat penularan virus di institusi pendidikan itu.

Jelasnya, penularan itu bukan sahaja berlaku di kawasan sekolah namun aktif berjangkit di rumah ibadah.

“Perkara itu amat membimbangkan namun kemungkinan Melaka dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih ada.

“Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berakhir 17 Mei tetapi tidak bermakna (Majlis Keselamatan Negeri) tidak boleh buat perubahan, tidak perlu tunggu 17 Mei,” katanya.

Rahmad bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Ops Hari Raya Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) di sebuah pasar raya Sungai Undang di sini, hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

377
Kongsi :
Previous post Rumah terbuka Aidilfitri tidak dibenarkan
Next post PKP di enam daerah di Selangor bermula Khamis ini
Ubah saiz-+=