Rugi RM101,900 angkara ‘laptop’

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 15 Julai – Seorang pensyarah berputih mata selepas kerugian lebih RM101,000 apabila disyaki ditipu sindiket e-dagang membabitkan tawaran pembelian sebuah komputer riba beharga RM1,900, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri Superintendan E Sundra Rajan berkata, warga emas terbabit yang berusia 76 tahun mengetahui mengenai tawaran penjualan komputer riba itu melalui iklan di sebuah laman web terkenal.

Beliau berkata, komputer riba itu diiklankan dengan harga RM1,900 dan mangsa yang mengajar disebuah kolej swasta dikatakan berminat untuk membelinya.

“Mangsa kemudian berhubung dengan suspek hanya melalui aplikasi WhatsApp dan dia diminta untuk membuat bayaran sebanyak RM3, 000 untuk proses insurans dan ‘clearance fee’.

“Dia juga turut membuat bayaran cukai berjumlah RM18,700 dan bayaran duti setem sebanyak RM23,000,” katanya.

Menurut beliau, mangsa yang masih tidak merasa ragu- ragu meneruskan membuat lain-lain pembayaran sebagaimana diminta oleh suspek.

“Bagaimanapun mangsa hanya berasa curiga selepas dia menyedari telah membuat bayaran keseluruhan berjumlah RM101,900 sebelum mengadu kepada anaknya lalu membuat laporan polis,” katanya.

Mengulas lanjut, Sundra berkata, pihaknya meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam melakukan sebarang transaksi pembelian atas talian selain terlebih dahulu membuat semakan nombor akaun atau telefon di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule.

Views:

339
Kongsi :
Previous post MU kembali ke Stadium Hang Tuah
Next post Kompleks Renang MBMB dibuka hari ini
Ubah saiz-+=