MUFC tewas tipis di tangan ‘bakal juara’

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

RENTAK tanpa kalah Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) dalam tiga perlawanan sebelum ini akhirnya lebur selepas tewas tipis 0-1 kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT FC) di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Skuad Hang Tuah yang turun dengan harapan sekurang-kurangnya meraih satu mata di laman sendiri dikecewakan hanya beberapa saat selepas perlawanan bermula apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada pelawat.

Penalti itu diberikan selepas Akmal Zahir menjatuhkan Gonzalo Cabrera.

Bergson da Silva yang dipertanggungjawab mengambil sepakan penalti tersebut tidak mensia-siakannya untuk meletakkan JDT di depan pada minit ke-2.

Tersentak dengan gol awal itu, tuan rumah cuba merencanakan sesuatu bagi mencari gol penyamaan.

Namun beberapa percubaan menembusi kotak penalti lawan berjaya dipatahkan tonggak pertahanan JDT.

Pada minit ke-33, MUFC memperoleh peluang terbaik menyamakan kedudukan menerusi satu serangan balas, namun Giovane Gomes yang cuba meluru masuk ke kawasan penalti JDT kehilangan bola hasil kesilapan sendiri.

Di minit-minit akhir separuh masa pertama, MUFC sekali lagi memperoleh peluang, namun gerakan Sony Norde dari kiri pintu gol berjaya dipatahkan Corbin Ong.

Selepas itu, giliran pelawat pula hampir menggandakan jaringan menerusi Safawi Rasid.

Namun, Khairul Fahmi Che Mat cemerlang menepis rembatan tepat tersebut dan keputusan satu gol tanpa balas memihak JDT kekal sehingga tamat separuh pertama.

Bersambung di babak kedua, MUFC terus menggandakan asakan dalam misi mencari gol penyamaan.

Satu percubaan menerusi sepakan percuma yang diambil Adriano Narcizo pada minit ke-53 bagaimanapun hanya sampai tepat ke dakapan penjaga gol JDT.

Selepas itu, tidak banyak aksi menarik dipamerkan kedua-dua pasukan dengan Zainal Abidin Hassan hanya melakukan satu pertukaran pemain.

Tamat 90 minit permainan, keputusan 0-1 kekal memihak JDT sekali gus membantu juara tujuh kali itu terus menjarakkan diri di persada liga.

Kekalahan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan MUFC di tangga ke-10 Liga Super dengan mengutip 16 mata daripada 17 perlawanan.

Selepas ini, skuad Hang Tuah dijadual turun menentang Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1267
Kongsi :
Previous post ‘Gerobok Rezeki Mobil’ #TokLeman Fokus kebajikan rakyat Melaka
Next post Penalti JDT cetus tanda soal – Zainal
Ubah saiz-+=