Penalti JDT cetus tanda soal – Zainal

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KEPUTUSAN pengadil perlawanan, Hamdan Awang menghadiahkan penalti kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) tatkala perlawanan baru bermula 17 saat dalam aksi menentang Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) di Stadium Hang Jebat, malam tadi menimbulkan perdebatan dan pertikaian.

Penalti itu diberikan selepas pemain pertahanan Akmal Zahir didakwa mengasari Gonzalo Cabrera dalam kotak penalti yang kemudiannya disempurnakan Bergson da Silva untuk gol tunggal perlawanan.

Ketua Jurulatih MUFC, Zainal Abidin Hassan turut menyifatkan keputusan itu sebagai pelik dan menimbulkan tanda tanya.

Beliau bagaimanapun, enggan membuat tuduhan melulu, sebaliknya akan meneliti semula rakaman sebelum berbincang dengan pengurusan tindakan selanjutnya.

“Bagi saya inilah bola sepak yang mana dalam 90 minit perlawanan kita melepaskan gol awal daripada sepakan penalti yang menjadi tanda soal di situ.

“Sama ada penalti atau tidak, saya kena buat kajian lagi dan melihat dahulu walaupun kesilapan (dikatakan) datang daripada pemain saya.

“Kita perlu lihat secara keseluruhan sebelum melakukan tindakan selanjutnya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam aksi itu, skuad Hang Tuah tewas 0-1 di tangan pendahulu Liga Super, JDT, sekali gus terlepas daripada mengutip sebarang mata di laman sendiri.

Meskipun tewas buat pertama kali selepas liga kembali bersambung, Zainal tetap memuji persembahan ditampilkan anak buahnya yang tidak putus asa dalam 90 minit perlawanan.

“Pujian perlu diberikan kepada pemain kerana menunjukkan permainan begitu bersemangat dan tidak mengenal erti letih walaupun berdepan jadual yang padat.

“Saya berharap pemain akan bangkit semula untuk aksi seterusnya kerana kita ada perlawanan yang begitu penting untuk dihadapi selepas ini,” katanya lagi.

MUFC selepas ini dijadual turun menentang Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada Sabtu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

796
Kongsi :
Previous post MUFC tewas tipis di tangan ‘bakal juara’
Next post Lebih 22 juta dos vaksin COVID-19 diberikan setakat semalam
Ubah saiz-+=