Ibu bapa teruja, pelajar bersemangat ke sekolah

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BATU BERENDAM 18 Okt. – Selepas lima bulan menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), keceriaan jelas terpancar di wajah pelajar tingkatan lima dan enam yang hadir kembali ke sekolah bermula hari ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini sekitar jam 7 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah mendapati keadaan trafik di jalan utama mula sibuk dengan kehadiran ibu bapa yang mengambil peluang menghantar anak ke sekolah.

Rata-rata pelajar kembali ceria ke sekolah dan dilihat sudah terbiasa dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan mengamalkan penjarakan dan pemakaian pelitup muka.

Turut kelihatan beberapa petugas keselamatan dan guru sekolah turut berada sekitar pintu utama sekolah itu.

PELAJAR memeriksa suhu sebelum memasuki kelas sempena pembukaan semula sekolah secara bersemuka di SMK Munshi Abdullah. Foto: MR. Azli

Seorang bapa, Abdul Samad Juhari, 63, bersyukur selepas kebenaran itu dibuka bagi menjamin pendidikan anaknya yang beberapa bulan ‘berkurung’ di rumah.

Katanya, sesi persekolahan bersemuka adalah perkara terbaik berbanding sesi PdPR.

“Anak saya tahun ini yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memerlukan penumpuan mendalam terhadap pembelajarannya dan jika dihandingkan PdPR macam-macam halangan berlaku terutama masalah jaringan internet.

“Alhamdulillah diharapkan sesi bersemuka ini mampu membantu anak saya supaya lebih fokus dalam pelajarannya,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Terdahulu, pada pagi tadi turut menyaksikan murid yang mula kembali ke sekolah dibekalkan dengan pelitup muka dan kit keselamatan COVID-19 yang disampaikan oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKK) negeri Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Mohd Nasrul Menhat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

546
Kongsi :
Previous post Melaka destinasi pilihan pelancong
Next post Tiga pelajar antara 18 ditahan terbabit parti liar di Melaka
Ubah saiz-+=