Penerima Anugerah Khas Industri diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-17 UTeM

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 1 April – Majlis Konvokesyen Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-17 tahun ini turut diserikan dengan penganugerahan enam Anugerah Khas Industri kepada enam orang graduan terpilih.

Anugerah Khas Industri ini merupakan salah satu kategori hadiah akademik yang berprestij, sekali gus memberikan gambaran keteguhan hubungan strategik berimpak antara UTeM dan rangkaian industri peringkat global.

Sehubungan itu ianya turut mencerminkan graduan keluaran UTeM adalah bertepatan dengan kehendak semasa rangkaian industri peringkat dunia.

Tambahan pula ianya turut selari dengan acuan kurikulum pengajian UTeM berlandaskan Revolusi Industri 4.0 dan sebagai peneraju Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) tahap tinggi negara ini.

Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UTeM Prof Madya Ir. Dr. Md Nazri Othman berkata, pada tahun ini enam hadiah Anugerah Khas Industri telah disumbangkan oleh pihak industri strategik UTeM.

Jelasnya, pencapaian ini turut menzahirkan bahawa graduan UTeM terus menjadi buruan dan pilihan utama para majikan dalam sebarang situasi iklim ekonomi dan pertumbuhan industri dalam dan luar negara.

“Anugerah ini membuktikan UTeM mempunyai hubungan strategik dan erat bersama industri, antaranya adalah Infineon Technologies (M) Sdn. Bhd., Xinyi Glass Holdings, Samsung SDI Energy (M) Sdn. Bhd. dan STMicroelectronics Sdn. Bhd.

“Kriteria calon adalah berdasarkan pencapaian akademik selain turut melaksanakan Projek Sarjana Muda berkaitan dengan projek berimpak di syarikat berkenaan.

“Atau pernah mengikuti program pengambilan staf baru seperti latihan industri atau Program Aperantis Korporat atau kaedah biasa pengambilan staf di syarikat berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Md Nazri berkata, pemilihan terakhir graduan dibuat oleh pihak industri bersama-sama pengesahan Jawatankuasa Tetap Senat Hadiah Akademik melalui senarai nama pelajar yang akan bergraduat yang telah disenarai pendek oleh pihak fakulti berdasarkan kriteria yang dicadangkan oleh pihak industri.

Jelasnya bagi Majlis Konvokesyen UTeM ke-17 ini enam Anugerah Khas Industri telah dianugerahkan kepada enam orang graduan UTeM daripada pelbagai kursus yang mana Anugerah Kecemerlangan Infineon dianugerahkan kepada Tracy Yeo Hooi Yinn daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan Anugerah Industri Infineon dianugerahkan kepada Mohammad Zulhakimi Mahammad Nor daripada Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer.

Manakala empat lagi anugerah adalah Anugerah Kecemerlangan Xinyi dianugerahkan kepada Seah Booh Yun daripada Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Anugerah Industri Xinyi dianugerahkan kepada Muhammad Zaim Abd Wahap daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Anugerah Industri Samsung SDIEM dianugerahkan kepada Muhammad Yazid Ibrahim daripada Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Anugerah Industri STMicroelectronics dianugerahkan kepada Ahmad ‘Irfan Shaari daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan.

Anugerah Khas Industri ini menjadi pemangkin kepada graduan UTeM untuk lebih berusaha bagi mendapatkan dan memastikan ilmu, pengetahuan serta pengalaman yang diperoleh melebihi keperluan dan jangkaan industri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1682
Kongsi :
Previous post Kertas putih KKM dibentang di Parlimen tidak lama lagi
Next post Tun Mohd Ali hadiri Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan
Ubah saiz-+=