Chalet diancam hakisan

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat
TEMBOK penahan ombak siap dibina JPS di hadapan chalet Nor Afandi Abu Bakar di pantai Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak pada Februari lalu. Foto Din Ahmad

Oleh: DIN AHMAD

PENGKALAN BALAK 1 Jun – Hakisan pantai yang mengancam 35 unit chalet dan seunit rumah di pantai Kampung Sungai Kertah, di sini semakin serius selepas membentuk lubang besar di bawah satu pondok wakaf.

Pembentukan lubang selebar kira-kira dua meter dan sedalam kira-kira satu meter itu bukan setakat mengancam pondok wakaf yang digunakan tetamu untuk beristirahat, malah satu blok bangunan yang menempatkan 10 unit chalet yang hanya kira-kira tiga meter dari pondok berkenaan.

Pengusahanya, Mohd Hafeez Md Yusof, 35, berkata lubang berkenaan dipercayai terbentuk akibat pukulan ombak besar dan angin kencang mulai malam kelmarin hingga awal pagi ini dan ia hanya disedari apabila beliau meninjau keadaan hakisan kira-kira jam 7 pagi ini.

“Saya amat bimbang lubang itu semakin melebar dan mendalam selepas sebahagian daripada tembok penahan ombak roboh semalam dan menyebabkan tiga pondok kecil yang digunakan tetamu untuk membakar ikan rosak.

“Ia mengancam satu blok bangunan chalet yang mengandungi 10 unit chalet berhampiran pondok wakaf yang sudah berlubang di bahagian bawah lantainya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Mohd Hafeez berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada perubahan arah pukulan ombak selepas tembok penahan ombak siap dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di gigi pantai chalet milik jirannya, Nor Afandi Abu Bakar yang bersebelahan dengan chaletnya pada Februari lalu.

Katanya, 15 unit chalet jirannya itu mengalami hakisan pantai sejak Ogos tahun lalu yang menyebabkan anjung chalet yang menempatkan pondok wakaf untuk tetamu menjalankan aktiviti membakar ikan dan beristirahat roboh keseluruhannya.

“Bagaimanapun, JPS membina benteng pemecah ombak sepanjang 90 meter, selain tembok penahan ombak daripada bongkah batu besar sepanjang 80 meter dan menambak pasir pantai yang terhakis di kawasan yang terjejas.

“Saya percaya apabila tembok itu siap dibina, arah aliran arus dasar laut berubah dan pukulan ombak tertumpu ke arah chalet saya yang tidak dilindungi tembok penahan ombak yang diperbuat daripada bongkah batu besar,” katanya.

Sehubungan itu Mohd Hafeez terpaksa menunggu bapanya, Md Yusof Yaacob, 63, yang mengasaskan chalet berkenaan datang dari Shah Alam, Selangor untuk mengambil langkah meletakkan bongkah batu besar di kawasan tembok yang sudah roboh bagi mengelakkan hakisan bertambah teruk.

Katanya, perjalanan bapanya ke chalet berkenaan agak sukar berikutan larangan rentas negeri yang masih berjalan sekarang berikutan wabak COVID 19.

Sementara itu, Pengarah JPS Melaka, Abdul Hakim Hamzah berkata, jurutera jabatan itu akan meneliti kejadian berkenaan sebelum mengambil langkah selanjutnya.

“Saya perlu meneliti laporan kejadian itu sebelum mengambil tindakan seterusnya,” katanya ketika dihubungi.

Februari lalu, JPS dilaporkan menyiapkan sepenuhnya projek membina benteng pemecah ombak dan tembok penahan ombak berhampiran chalet milik Nor Afandi.

Ia adalah sebahagian daripada kerja pembaikan akibat hakisan pantai, termasuk hakisan di Kampung Hilir di Kuala Sungai Baru dan Kampung Tanjung Dahan di Kuala Linggi yang keseluruhannya bernilai RM2.64 juta.

Views:

676
Kongsi :
Previous post Rakam pemandangan keladi bunting: 20 individu dikompaun RM1,000
Next post ‘Rindu air tangan arwah nenek…’
Ubah saiz-+=