Rakam pemandangan keladi bunting: 20 individu dikompaun RM1,000

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

SEMABOK 30 Mei. – Seramai 38 individu termasuk warga emas dan kanak-kanak telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Melaka Tengah akibat merakam pemandangan pokok keladi bunting yang mengeluarkan bunga berwarna ungu di Kolam Takungan Banjir di Taman Semabok Perdana, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, bagaimanapun hanya 20 kompaun dikeluarkan, memandangkan 18 individu dari jumlah berkenaan melibatkan kanak-kanak, bayi dan warga emas.

Jelasnya, dalam kejadian kira-kira jam 12.00 tengahari itu, sebanyak 15 kenderaan yang berhenti di kawasan berkenaan didapati merakam keindahan bunga keladi bunting yang mekar berwarna ungu.

“Kesemua mereka diiring petugas polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah dan dikompaun RM1,000 mengikut Peraturan 7(1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.6) 2020.

“Kompaun ini dikeluarkan kepada mereka yang tidak mengendahkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya ketika dihubungi pemberita.

Tambah Afzanizar, pasukan polis dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mula mengawal ketat kawasan berkenaan selepas mendapati kehadiran orang awam yang ramai dan tidak menjaga penjarakan sosial.

Tegasnya, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang berdegil dan berkumpul di kawasan kolam terbabit dan menyeru masyarakat untuk kekal mengurangkan pergerakan memandangkan PKPB masih berjalan.

Views:

2178
Kongsi :
Previous post Dadah hampir RM1 juta dirampas
Next post Chalet diancam hakisan
Ubah saiz-+=