Dadah hampir RM1 juta dirampas

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Polis menahan enam individu termasuk empat wanita dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai hampir RM1 juta, dalam operasi di sekitar ibu negara pada Selasa dan Rabu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, dua lelaki dan empat wanita berusia 28 hingga 54 tahun itu, ditahan menerusi dua serbuan yang dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur.

Mengulas serbuan pertama beliau berkata, tiga wanita dan seorang lelaki ditahan di sebuah kondominium di Jalan Pudu Ulu di sini, pukul 8.15 malam, Selasa.

“Pemeriksaan di kondominium itu membawa kepada penemuan dadah disyaki syabu dengan berat anggaran 502 gram, ketamin (300 gram), pil ektasi (670 biji) serta wang tunai RM3,000.

“Suspek lelaki mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Mazlan berkata, pihaknya menahan seorang lelaki dan seorang wanita dalam serbuan kedua di sebuah kondominium di Taman Tenaga, di sini, kira-kira 12.40 tengah malam Rabu.

“Polis menemui pelbagai jenis dadah antaranya ketamin (2,910 gram) pil erimin 5 (400 biji) dan pil ektasi (2,485 biji).

“Turut disita dua buah kereta jenis Nissan X-Trail serta wang tunai RM20,240. Suspek lelaki mempunyai enam rekod jenayah berkait dadah,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga Sabtu, untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

— BERNAMA

Views:

1547
Kongsi :
Previous post AirAsia pertimbang bergabung dengan syarikat penerbangan tambang rendah lain
Next post Rakam pemandangan keladi bunting: 20 individu dikompaun RM1,000
Ubah saiz-+=