Piala Tun Abdul Razak: Kemenangan tipis lonjak semangat Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

MELAKA 13 Sept. – Kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur dalam aksi pembuka tirai Piala Razak 2020 berjaya melonjakkan semangat skuad hoki wanita Melaka untuk memburu kedudukan dua terbaik peringkat kumpulan.

Pengurus Pasukan Adila Fazleen Che Manan berkata, menang ke atas naib juara tahun lalu itu nyata memberi kelebihan buat pasukannya untuk merealisasikan impian untuk mara ke peringkat separuh akhir edisi kali ini.

Katanya, meski pun turun sebagai pasukan bukan pilihan, namun itu tidak menghalang pemain membuktikan kemampuan mereka untuk mencipta kejutan.

“Jaringan gol tunggal perlawanan daripada pemain kebangsaan, Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin sudah cukup untuk beri kita kelebihan untuk ke pusingan XY dan seterusnya mara ke separuh akhir.

“Pada awal-awal lagi, kita memang dah ‘set mind’ kita untuk menang dengan Kuala Lumpur bagi menjamin laluan yang lebih mudah ke peringkat seterusnya.

“Bila sudah menang ia memang cukup melegakan kerana selepas ini kita akan bertemu pasukan yang dijangka lebih mudah iaitu Sarawak,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Bagaimanapun, Adila Fazleen berkata, meski pun Sarawak menjadi mangsa belasahan Pahang dalam aksi pembukaan sebentar tadi, dia enggan pemain mengambil mudah cabaran lawannya itu.

Sebaliknya, mereka perlu berikan fokus 100 peratus dalam misi untuk menang perlawanan tersebut sekali gus menjamin kemaraan mereka ke peringkat XY lebih awal.

“Kita akan cuba yang terbaik untuk ke pusingan XY lebih awal melalui kemenangan dengan Sarawak, Ahad ini. Itu saya yakin kami boleh lakukan.

“Ini kerana perlawanan akhir peringkat kumpulan adalah yang mencabar bagi kami iaitu sewaktu bertemu Pahang pada Isnin. Mereka membariskan ramai pemain kebangsaan dan pemain berpengalaman.

“Sebab itulah kami perlu dapatkan momentum kemenangan dengan Sarawak supaya dalam aksi bertemu Pahang nanti ia akan jadi lebih mudah untuk kita,” katanya.

Views:

424
Kongsi :
Previous post Adik Batrisyia johan rekacipta replika MTS
Next post Tumbuk kepala isteri, suami ke mahkamah
Ubah saiz-+=