Tumbuk kepala isteri, suami ke mahkamah

Masa Membaca:56 Saat

AYER KEROH 18 Sept.- Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan mendatangkan cedera kepada isterinya dalam kejadian Ahad lalu.

Tertuduh, yang berusia 36 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera dengan cara menumbuk kepala isterinya yang berusia 37 tahun.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di tepi jalan berhampiran Taman Tasik Utama, kira- kira jam 7.30 malam pada 13 September 2020.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM4, 000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob mencadangkan kepada mahkamah jumlah jaminan RM4,000 diberikan kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan sudah diberhentikan kerja selain mempunyai tanggungan anak.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai selain menetapkan 10 November depan tarikh sebutan semula kes.

Views:

564
Kongsi :
Previous post Piala Tun Abdul Razak: Kemenangan tipis lonjak semangat Melaka
Next post Kerajaan negeri akan kaji kesahihan artifak
Ubah saiz-+=