Kerajaan negeri akan kaji kesahihan artifak

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 18 Sept. – Kerajaan negeri akan mengkaji ketulenan artifak digunakan dari zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15, yang ditemui di kawasan paya bakau Pulau Melaka, di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, pihaknya sudah meminta beberapa penyelidik sejarah dan pakar artifak purba untuk mengkaji dan mengenal pasti sama ada artifak yang ditemui itu benar-benar berasal dari zaman pemerintahan Sultan Mahmud.

Berikutan itu, katanya laporan terperinci mengenai penemuan itu akan dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebaik sahaja pihaknya menerima laporan hasil kajian serta penyelidikan awal mengenai perkara itu.

“Terdapat kemungkinan hubungan dua hala menerusi perdagangan antara Melaka dan China pada 750 tahun lalu kerana selain itu kita juga ada menemui beberapa artifak yang bertarikh 60 Hijrah.

MUHAMMAD Jailani (tiga kanan) menyampaikan cenderahati kepada Biro Wanita MGBM, Zaiton Sidek pada program pelepasan konvoi di MIBC.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh pastikan (kesahihan) artifak itu sehingga mendapat pengesahan daripada Jabatan Warisan Negara (JWN) serta agensi berkaitan mengenai penemuan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan pelepasan konvoi 25 ahli Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) negeri ke cabaran mendaki Gunung Kinabalu di Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC) di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Shaari Basiron; Naib Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) Zaiton Sidek; Setiausaha Agung MGBM Razali Baharon serta Pengerusi MAYC negeri Asrul Khan Sher Jang Khan.

Muhammad Jailani berkata, pengesahan mengenai penemuan itu masih terlalu awal untuk dimaklumkan namun beliau tidak menolak semua artifak yang ditemui itu mempunyai kaitan rapat dengan sejarah Melaka.

Semalam, JWN bersama Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menemui beberapa artifak yang dipercayai digunakan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 dan ke-16, berusia lebih 900 tahun.

Antara yang ditemui termasuk serpihan seramik seperti tembikar dan porselin dipercayai digunakan pada zaman Dinasti Song, selain beberapa syiling mata wang Belanda jenis VOC dan mata wang Portugis selain serpihan kayu dipercayai rangka kapal perdagangan.

Views:

275
Kongsi :
Previous post Tumbuk kepala isteri, suami ke mahkamah
Next post PKP bukan alasan tidak jana pendapatan
Ubah saiz-+=