Adik Batrisyia johan rekacipta replika MTS

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 18 Sept. – “Tak sangka buat replika Menara Taming Sari (MTS) guna bahan kitar semula boleh jadi johan pertandingan,” kata Ariff Anwar 36.

Ariff merupakan bapa kepada Batrisyia Rifqah,6, mengambil peluang bersama isteri dan anaknya untuk mereka cipta replika MTS kerana ia merupakan ikon yang dibanggakan di Melaka.

“Bila Tadika JAIM Merlimau Pasir buat pertandingan reka cipta tema ‘kemerdekaan negaraku’, kami terfikir untuk membuat replika MTS kerana kita berada di Melaka.

“Jadi saya bawa Batrisyia (anak) pergi melihat sendiri MTS supaya dia dapat gambaran sendiri dan sebelum ini dia juga pernah naik menara ini,” katanya ketika dihubungi MHI.

Ariff berkata, anak bongsu dari tiga beradik ini gemar mengumpul barang kitar semula dan terlintas untuk menggunakan barang itu bagi mereka cipta replika MTS.

“Anak saya memang suka barang kitar semula, kita memang dah ada botol-botol dan penutup botol.

BATRISYIA menunjukkan rekaan replika MTS bersama ayah dan ibunya.

“Dalam mereka MTS, kita gunakan tin minuman untuk buat tiang, penutup botol pula untuk buat foundation (asas) menara dan logo Malaysia Prihatin juga gunakan penutup botol itu,” katanya.

Katanya tidak sangka dengan menggunakan bahan kitar semula replika MTS rekaannya bersama Batrisyia layak menjadi johan pertandingan.

“Untuk siapkan cuma ambil masa lima hari sebab kekangan waktu saya dan isteri yang bekerja, waktu malam kami ambil peluang untuk siapkannya.

“Cabaran nak siapkan replika sudah pasti ada, namun kami rasa seronok dapat siapkannya sekali gus menyemarakkan semangat patriotik,” katanya.

Sementara itu Guru Besar Tadika JAIM Merlimau Pasir, Rohaya Bakar berkata, pertandingan itu bermula 20 Ogos sehingga 15 September lalu melibatkan seramai 18 penyertaan.

“Keputusan pertandingan kita umumkan semalam (17 September), kali ini ada kelainan sedikit, peserta perlu siapkan replika di rumah kerana musim Covid-19.

“Penyertaan kali ini melibatkan murid-murid berumur 6 tahun, kita akan teruskan aktiviti seperti ini pada setiap tahun,” katanya.

Views:

7419
Kongsi :
Previous post Lebih banyak bantuan jika Kerajaan Sabah sehaluan dengan Persekutuan – PM
Next post Piala Tun Abdul Razak: Kemenangan tipis lonjak semangat Melaka
Ubah saiz-+=