Lelaki parah, kereta ‘terbang’ depan kilang

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

BATU BERENDAM 24 Ogos – Seorang lelaki parah selepas kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas sebelum terbalik di atas bumbung tempat parkir kenderaan di sebuah kilang, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu turut menyebabkan sebuah motosikal dan tiga kereta yang diletakkan di parkir kenderaan rosak.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Proton Waja yang dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dari arah Peringgit menghala ke Batu Berendam untuk pulang ke rumah.

“Ketika kejadian, pemandu kereta Waja tersebut telah hilang kawalan lalu melanggar paip air di sebelah kiri jalan dan terbabas melanggar motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 41 tahun yang tidak mengalami kecederaan.

“Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan terbalik di atas bumbung tempat parkir kenderaan kilang lalu menghempap tiga lagi kereta di parkir kilang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Christopher berkata pemandu terbabit mengalami kecederaan dalaman dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Melaka.

Ujarnya, pihak polis telah mengambil sampel darah pemandu Waja terbabit untuk ujian alkohol dan dadah dalam darah.

“Tiada rakaman kamera litar tertutup ataupun kamera papan pemuka di tempat kejadian dan tiada saksi di tempat kejadian.

“Siasatan masih diteruskan dan pihak polis meminta mana-mana saksi untuk hadir membuat keterangan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1527
Kongsi :
Previous post Anak mahu ikut jejak arwah bapa jadi anggota bomba
Next post Harga RON97 turun lima sen, RON95 dan diesel kekal
Ubah saiz-+=