COVID-19: KM dan Exco selesai jalani ujian calitan, JKN digesa lakukan penambahbaikan

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER MOLEK 2 Okt. – Kerajaan negeri meminta Jabatan Kesihatan Negeri menjalankan penambahbaikan susulan kekeliruan yang berlaku terhadap isu Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ayer Limau Datuk Amirudin Yusof yang didapati positif COVID-19, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Rahmad Mariman berkata beliau selaku EXCO mewakili kerajaan negeri memohon maaf di atas kekeliruan yang berlaku dan memandang serius terhadap isu terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati kekeliruan itu pertama kali berlaku di negara ini termasuk Melaka dan beliau memohon JKN untuk melakukan penambahbaikan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Saya melihat ada sedikit kelemahan teknikal menyebabkan ia berlaku dan setelah berbincang dengan JKN, saya minta penambahbaikan selain siasatan diteruskan mengenai perkara itu.

“Jika perkara itu disebabkan faktor staf atau petugas, tindakan akan tetap dikenakan dan saya memohon maaf kepada pihak yang terlibat.

“InsyaAllah perkara ini tidak akan berulang lagi dan saya menyerahkan kepada JKN untuk menjawab berkaitan isu ini,” katanya pada sidang media di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Molek di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Amirudin mendakwa ujian saringan Covid-19 yang dijalankan ke atasnya di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah sejurus pulang dari Sabah pada Isnin lalu adalah negatif.

Bagaimanapun, beliau mendakwa Rabu lalu pihak Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah menghubunginya dan memaklumkan ujian itu positif.

Berikutan itu, Rahmad berkata seramai empat kontak rapat ADUN Ayer Limau yang terdiri daripada ahli keluarganya telah menjalani ujian calitan di Klinik Kesihatan Alor Gajah dan sedang menjalani kuarantin selama 14 hari ini di rumah.

“Mengenai status Seri Negeri yang ditutup semalam sehingga menimbulkan panik orang ramai, proses sanitasi yang dijalankan ke atas bangunan itu adalah prosedur biasa apabila berlaku kebimbangan dari kes tersebut (kes ADUN Ayer Limau).

“Bagaimanapun, semua kontak sosial wakil rakyat berkenaan termasuk semua kakitangan bangunan Seri Negeri serta Ketua Menteri dan barisan Exco telah selesai menjalani ‘swab test’ pagi tadi,” katanya.

Views:

251
Kongsi :
Previous post PM Jepun Suga tidak mungkin adakan pilihan raya tahun ini
Next post Ahli Parlimen Batu Sapi meninggal dunia
Ubah saiz-+=