Serkam fokus pembangunan modal insan seimbang

Masa Membaca:4 Minit, 6 Saat

SERKAM 1 November – Memfokuskan pembangunan modal insan seimbang menjadi antara visi utama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam selain perancangan ke arah kelestarian Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Menurut Datuk Zaidi Attan sehingga kini beliau mempergiatkan pelbagai usaha yang tidak hanya memfokuskan pembangunan sosioekonomi, malah menyiapkan segala prasarana yang pernah tertunggak sebelum ini.

“Kita bukan hanya mahukan pembangunan infrastruktur, malah melihat kepada pembangunan insan dalam konteks mengurus orang yang lebih berumur dengan mengadakan kelas-kelas agama.

“Kemudian kita adakan program masjid berpusat yang mana sasarannya dapat dicapai apabila masjid itu dapat menghadirkan jemaah pada waktu Subuh seramai jemaah pada waktu solat Jumaat,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

FAKULTI HALAL

Dalam pada itu, Zaidi yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri berkata, Kerajaan Negeri telah bersetuju mewujudkan pusat pengajian baharu bagi fakulti halal Universiti Melaka (UniMEL) di Melaka Halal Hub bermula tahun depan.

Menurutnya, fakulti berkenaan akan memfokuskan tentang kajian halal yang akan membangunkan sahsiah manusia sekali gus meningkatkan syiar Islam di Negeri Melaka.

“Dalam konteks pembangunan fakulti ini, ia menjadi tempat kepada UniMEL untuk membangunkan bukan saja sahsiah manusia tetapi sistem dan nilai demi meningkatkan syiar Islam.

“Ia fakulti halal untuk UniMEL, jadi soal kajian tentang halal, belajar tentang halal akan ada di Melaka Halal Hub, kita gunakan bangunan mereka dan insya-Allah akan dilaksanakan tahun depan.

“Kita akan bincang dengan pihak UniMEL untuk selaraskan berapakah jumlah pelajar dan tenaga pengajar yang diperlukan bagi fakulti ini,” katanya.

5
Pantai Siring yang akan dinaik taraf sebagai kawasan pelancongan baharu Negeri Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

PEMBANGUNAN BAHARU PANTAI SIRING

Bagi menaik taraf produk pelancongan Pantai Siring, tiga fasa pembangunan baharu sedang dirancang yang melibatkan keseluruhan peruntukan kira-kira RM90 juta.

Beliau berkata, peruntukan itu melibatkan kerja-kerja pembinaan jalan raya sebanyak RM30 juta, pembinaan pantai awam RM30 juta dan pembinaan My Pantai Siring oleh PKNM sebanyak RM30.4 juta.

“Setakat ini fasa pengambilan tanah sudah selesai, untuk proses pembayaran pula RM3 juta…selepas itu baru kita akan buat reka bentuk laluan baharu yang memerlukan tempoh enam bulan bagi reka bentuknya, peruntukan biasanya daripada persekutuan.

“Jalan ini sejauh tiga kilometer untuk keselesaan pengunjung masuk ke Pantai Siring sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas sedia ada.

“Proses pengambilan tanah berada di peringkat akhir yang mana proses pembayaran pengambilan tanah akan dilaksanakan pada akhir tahun ini dan pemilikan tanah pada tahun hadapan selewatnya,” katanya lagi.

JETI KE PULAU BESAR

Dalam merancakkan lagi sektor pelancongan di DUN Serkam, sebuah jeti pengangkutan air juga akan dibangunkan di Perkampungan Ikan Bakar Terapung Umbai.

Menurut Zaidi, jeti itu bakal berfungsi sebagai terminal pengangkutan bagi pelancong yang ingin ke Pulau Besar.

“Kertas kerja untuk cadangan ini telah diangkat oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan akan ada persetujuan antara kedua belah pihak.

“Kita mahu perkampungan ikan bakar terapung daripada sebuah restoran kepada jeti yang boleh ke Pulau Besar, selain makan-makan pengunjung boleh melancong ke Pulau Besar.

“Sekarang kita sedang tunggu kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan, selepas itu baru akan ada kerja-kerja pembinaan,” katanya.

2
ZAIDI melawat tapak pembinaan masjid Serkam Darat. Foto Iqmal Haqim Rosman

MASJID BAHARU

Sebuah Masjid Serkam Darat yang baharu bakal dibina dalam masa terdekat menelan kos sejumlah RM5 juta bagi memberi keselesaan kepada seramai 800 jemaah yang menunaikan solat di masjid tersebut.

“Kita akan membina semula Masjid Kariah Serkam Darat yang dijangkakan ditender pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) selewat-lewatya November ini.

“Akan ada kontraktor di tapak pembinaan pada Januari 2023, bagaimanapun saya cuba percepatkan kerja-kerja pembinaan masjid ini yang kita jangkakan dilaksakana awal tahun depan.

“Kita akan buat pecah tanah dalam masa terdekat untuk memberi makluman kepada masyarakat bahawa ini sebahagian daripada pembiayaan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” katanya.

Katanya buat masa ini kesemua kariah di Serkam Darat menunaikan solat di masjid sementara yang dibina di kawasan yang sama.

“Di Serkam ada sembilan masjid, ada beberapa lagi masjid dalam kerja-kerja pengubahsuaian melibatkan Masjid Kampung Paya Tanjung dan Masjid Lama Kampung Pulai,” katanya.

3
KETIKA melawat Pantai Siring yang akan dinaik taraf sebagai kawasan pelancongan baharu Negeri Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

BIODATA

Nama: Datuk Zaidi Attan
Umur: 53

Karier:-
– Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar (2021 – kini)
– Ahli Dewan Undangan Negeri Serkam (2021 – kini)
– Timbalan Pengerusi Syarikat Air Melaka Sdn Bhd

Pendidikan:-
– Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia

Politik:-
– Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin (2018 – kini)
– Ketua Penerangan UMNO Bahagian Jasin (2013 – 2018)
– Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jasin (2009 – 2013)

INFO DUN Serkam

Jumlah pengundi : 20,392

Kampung : 14
Taman Perumahan : 25

Rumah Ibadat:-
Masjid: 9
Surau: 30
Tokong: 3
Kuil: 1

Institusi Pendidikan:-
Sekolah Kebangsaan: 7
Sekolah Menengah: 2
Sekolah Rendah Agama JAIM: 9
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina: 1
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil: 1
Pendidikan Khas – 3

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2074
Kongsi :
Previous post PRU15: Ismail Sabri, Zahid Hamidi pertahan Parlimen masing-masing
Next post PRU15: Senarai bakal calon BN bagi kerusi Parlimen di Semenanjung
Ubah saiz-+=