UNIMEL fokus jadi IPT unggul berteraskan pengajian Islam

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 6 Disember – Universiti Melaka (UNIMEL) akan terus merealisasikan misinya menjadi sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang unggul dan cemerlang di dalam bidang pengajian berteraskan Islam.

Naib Canselor UNIMEL Prof. Dr. Abdul Razak Ibrahim berkata, untuk itu pelbagai pelan telah dirangka dan bakal direncana antaranya dengan meneruskan program Tahfiz Bistari.

Katanya, program tersebut diteruskan UNIMEL bagi memartabat pendidikan dalam kalangan pelajar madrasah atau pondok tahfiz di Negeri Melaka agar pendidikan mereka seiring dengan arus sistem pendidikan terkini di negeri ini.

“Menerusi program Tahfiz Bistari ini, para pelajar yang terdiri dalam kalangan anak kelahiran Melaka boleh mendapat penajaan sepenuhnya daripada Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).

“Melalui program ini, para pelajar akan didedahkan dengan program pengajian yang berkualiti yang mana ia mampu memberi impak kepada kebolehpasaran mereka kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas Istiadat Pemasyhuran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam sebagai Canselor pertama UNIMEL pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UNIMEL Ke-24 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Istiadat itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari dan lain-lain kenamaan.

Menurut Abdul Razak, UNIMEL kini menawarkan 56 program pengajian iaitu membabitkan tiga program asasi, 20 program diploma, 17 program ijazah sarjana muda, 11 program ijazah sarjana dan lima program doktor falsafah (PhD).

Katanya lagi, memandangkan Melaka merupakan sebuah negeri pelancongan, UNIMEL turut mempergiat jalinan kerjasama dengan pihak industri pelancongan dan hospitaliti bagi menyumbang kepada perkembangan ekonomi negeri khususnya, dan negara amnya.

“Sesungguhnya segala inisiatif ini merupakan cerminan kepada komitmen serta sokongan padu dalam melebar luas sayap UNIMEL ke peringkat lebih tinggi.

“Usaha ini seiring dengan keperluan pasaran kerja semasa dalam dunia pekerjaan yang memerlukan kepelbagaian kemahiran seperti ‘soft skills’ yang terdapat dalam diri setiap graduan UNIMEL,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1827
Kongsi :
Previous post UNIMEL berperanan lahirkan modal insan, aset negara – KM
Next post Kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion melalui rundingan terus diteliti semula – PM Anwar
Ubah saiz-+=