UNIMEL berperanan lahirkan modal insan, aset negara – KM

AYER KEROH 6 Disember – Universiti Melaka (UNIMEL) bakal menjadi sebuah lagi institusi pendidikan yang penting dalam membangun serta memperlengkapkan modal insan di peringkat tertinggi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, graduan yang dilahirkan universiti penuh milik Kerajaan Negeri itu sekali gua bakal menjadi aset kepada pembangunan negara pada masa akan datang.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMEL juga menzahirkan keyakinan, UNIMEL berpotensi untuk memainkan peranan utama secara dinamik dan proaktif untuk membangun dan meleba rluaskan sayapnya ke arena tempatan, serantau dan juga global.

“Saya juga percaya, Universiti Melaka mampu menawarkan kepakaran ahli-ahli akademik kepada dunia dan boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan yang lebih mantap pada masa-masa yang akan datang.

“Sesungguhnya, Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian khusus terhadap usaha memperkasa bidang pendidikan dan meletakkannya sebagai agenda utama untuk menjadikan Melaka sebagai hub pendidikan tersohor di negara ini.

“Kerajaan menyedari bahawa pelaburan dalam bidang pendidikan merupakan prasyarat yang signifikan bagi mewujudkan sebuah negara yang makmur dan pembangunan rakyat yang sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Instiadat Konvokesyen Universiti Melaka Ke-24 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Terdahulu, Sulaiman turut menyaksikan lakaran sejarah buat UNIMEL apabila memasyhurkan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam sebagai Canselor pertama universiti itu.

Pemasyhuran itu selaras dengan kesinambungan universiti lain seluruh dunia yang menyaksikan Tun Mohd Ali selaku Canselor diberi kuasa mempengerusikan konvokesyen, melaksanakan apa-apa kewajipan seperti mana yang diperuntukkan dalam perlembagaan Universiti Melaka di bawah Seksyen 30 Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996.

Dalam pada itu, Sulaiman dalam ucapannya turut merakamkan ucapan tahniah kepada 3,045 orang graduan Universiti Melaka yang telah berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2020, 2021, dan 2022 dan diraikan pada istiadat konvokesyen ke-24 ini.

“Pada hari yang bermakna ini, saya yakin, tercatat kenangan terindah buat para graduan dan keluarga di atas kejayaan menamatkan pengajian dengan cemerlang, membanggakan kedua ibu bapa yang selama ini berkorban masa, tenaga dan wang demi memastikan anak-anaknya mendapat pendidikan sempurna.

“Saya berharap, proses untuk meneruskan pencarian ilmu tidak terhenti di sini sahaja, tetapi terus diperbaharui tidak kira usia mahupun tahap pencapaian.

“Untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan selepas ini, para graduan mesti bersedia mencabar keupayaan sendiri dan berusaha di luar batas kemampuan supaya cita-cita yang diimpikan dapat dipacu sebaik mungkin oleh azam dan iltizam yang terbaik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

842
Previous post Tun Mohd Ali dimasyhur Canselor pertama UNIMEL
Next post UNIMEL fokus jadi IPT unggul berteraskan pengajian Islam