Pesta Bunga Melaka tutup tirai 2022 penuh warna-warni

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 23 Disember – Pesta Bunga Melaka 2022 yang diadakan selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Disember ini dijangka menggamit ribuan peminat flora seluruh negara.

Program yang diadakan di Taman Seribu Bunga itu bakal menampilkan pelbagai aktiviti menarik, antaranya ‘Garden Showcase’ (pameran dan dekorasi hiasan bunga), ‘Blossom of Light’ (hiasan lampu berwarna), hiasan bunga terapung, ‘Floral Relaxing Spa’, ‘Orchid Garden’ dan bermacam-macam lagi.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, program bertemakan ‘Pesona Warna Menggamit Dunia’ itu merupakan salah satu daripada acara utama dalam kalender pelancongan Negeri Melaka 2022 yang dianjurkan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka.

Jelasnya, selain pameran, pesta itu turut menyediakan beberapa aktiviti sampingan seperti pertandingan mewarna, pertandingan gubahan sirih junjung, gubahan orkid, serta jualan bunga dan buah-buahan daripada lebih 30 pempamer.

“Malah, pengunjung bertuah juga berpeluang memenangi hadiah menarik seperti televisyen, peti sejuk, mesin basuh, basikal dan hadiah utama berupa sebuah motosikal.

“Majlis perasmian Pesta Bunga Melaka 2022 akan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

“Kita menyasarkan seramai 30,000 pengunjung akan hadir sepanjang tiga hari pesta ini diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Penganjuran Pesta Bunga Melaka 2022 di Taman Seribu Bunga, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar BPP Melaka Sa’ari Basiron dan Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Melaka (MOTAC) Yeow Chin Chai.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, objektif utama penganjuran Pesta Bunga Melaka ini adalah untuk mempromosikan pelancongan eko Negeri Melaka disamping memberi ruang dan platform kepada pengusaha produk pelancongan khususnya berkaitan flora mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka.

Katanya, pada pesta itu juga pengunjung dapat menyaksikan sendiri dengan lebih dekat bunga rasmi Negeri Melaka iaitu bunga kesidang, selain ribuan spesies bunga lain yang akan dipamerkan.

Untuk rekod, Pesta Bunga Melaka turut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Koperasi Kakitangan Istana Melaka (KOKAIM), MOTAC, Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian Negeri, Jabatan Perhutanan Negeri dan pelbagai agensi lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5776
Kongsi :
Previous post Bomba kerah dua helikopter ke kawasan terputus hubungan di Pantai Timur
Next post KPDN Melaka rekod RM4.92 juta nilai rampasan
Ubah saiz-+=