KPDN Melaka rekod RM4.92 juta nilai rampasan

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 Disember – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka merekodkan sebanyak 316 kes membabitkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan RM4.92 juta sejak Januari hingga 20 Disember lalu.

Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem berkata daripada jumlah kes diterima itu, yang paling tinggi adalah melibatkan kes di bawah Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011.

“KPDN sentiasa mengambil tindakan pantas termasuk intipan dan pemeriksaan secara berkala, penguatkuasa sentiasa aktif dan turun padang untuk memeriksa premis-premis di negeri ini.

“Daripada jumlah nilai rampasan RM4.92 juta itu, sebanyak RM90,850 nilai kompaun telah dikeluarkan sekali gus menjadikan jumlah denda di mahkamah sebanyak RM163,000 setakat 20 Disember lalu.

“Kita juga telah memeriksa sebanyak 29,758 premis dalam tempoh yang sama, manakala bagi aduan diterima adalah sebanyak 762 aduan dengan hasil kerajaan diperolehi sebanyak RM1,372,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2022 di Pusat Beli Belah AEON Bandaraya Melaka di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Melaka, Rohaimi Mohamed Zawawi.

WhatsApp Image 2022-12-23 at 1.02.45 PM
LOBAK merah dan tomato antara barang disenaraikan dalam skim tersebut.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak enam jenis barangan disenaraikan dalam pelaksanaan skim berkenaan di Negeri Melaka berkuat kuasa 23 hingga 27 Disember ini.

Katanya, enam barang itu adalah daging kambing biri-biri import bertulang, tomato, lada benggala hijau, kubis bulat import (China dan Indonesia), lobak merah dan ubi kentang import (China).

“Skim berkenaan dilaksanakan bagi menstabilkan harga barangan sesuatu perayaan ketika permintaan dijangka meningkat bagi membolehkan rakyat meraikan Krismas dengan ceria dan harmoni.

“Tempoh pelaksanaan SHMMP Krismas 2022 kali ini bersesuaian dengan keadaan semasa iaitu mewujudkan situasi menang-menang kepada pengguna dan peniaga.

“Pegawai penguatkuasa KPDN juga sentiasa memantau bagi memastikan tiada ketidakpatuhan peniaga semasa skim ini dilaksanakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1645
Kongsi :
Previous post Pesta Bunga Melaka tutup tirai 2022 penuh warna-warni
Next post Bekalan telur gred C dijangka kurang menjelang Krismas – Exco
Ubah saiz-+=