ITP beri ‘booster’ untuk pelajar SPM pada pecutan terakhir

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER KEROH 27 Januari – Institut Tun Perak (ITP) mengambil inisiatif menyediakan ‘booster’ tambahan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai pecutan terakhir sebelum menduduki peperiksaan itu pada 20 Februari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif ITP, Prof Dr Mohamad Ainudin Iskandar Lee Abdullah berkata ia termasuklah melaksanakan program-program pendidikan seperti motivasi diri yang bermanfaat kepada para pelajar.

“Kita cuba memberikan ‘booster’ tambahan kepada pelajar agar mereka mendapat kecemerlangan dalam SPM, ini sasaran kami untuk memastikan mereka (pelajar) tidak tergelincir di saat akhir.

“Banyak program dan kelas tambahan dirangka termasuk program motivasi diri seperti hari ini iaitu Program Motivasi Atas Talian ‘On Motivation’,” katanya kepada pemberita selepas program itu di Sekolah Sains Muzaffar Syah (MOZAC) di sini, hari ini.

photo_2023-01-27_14-33-07
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (tiga dari kanan) mengajukan soalan kepada pakar motivasi, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah pada Program Motivasi Atas Talian SPM 2022 “On Motivation” di Dewan Sultan Muzaffar Syah, Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, (MOZAC), Ayer Keroh, Melaka. Foto: MR. AZLI

Program itu dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali yang dihadiri Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah sebagai penceramah motivasi jemputan yang disampaikan secara atas talian.

Mengulas lanjut, Dr Mohamad Ainudin berkata, seramai 11,041 calon SPM yang bakal menduduki peperiksaan pada Februari depan dapat mempelajari ilmu diberikan sebagai suntikan semangat.

“Program seperti ini perlu diteruskan pada masa hadapan demi memberi semangat kepada anak-anak ini di saat akhir, saya percaya dengan momentum ini pelajar memperoleh kejayaan pada SPM nanti.

“Pendidikan juga salah satu kluster yang diwujudkan di bawah ITP selain kluster urus tadbir, kluster sejarah dan warisan serta kluster dataraya.

“Biarpun ITP masih baharu, tapi kita akan mengadakan perbincangan lanjut dengan jabatan pendidikan negeri apakah rangka kerja atau program bakal dilaksanakan tahun ini dan akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1746
Kongsi :
Previous post APMM tahan bot nelayan tempatan dikendalikan enam warga Myanmar
Next post Pengasuh mengaku tak salah cederakan bayi
Ubah saiz-+=