Banjir: K’jaan salur bantuan segera RM50 juta kepada Johor – PM Anwar

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

SERDANG, 3 Mac – Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan bantuan segera banjir berjumlah RM50 juta kepada negeri Johor.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan berkenaan, akan digunakan bagi membantu mangsa banjir serta keperluan-keperluan segera di negeri itu.

“RM50 juta untuk Johor, segera…untuk sungai (pengurusan) dan bantu mangsa banjir dan apa pun keperluan yang segera,” kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Anwar berkata beliau juga akan ke Johor bagi melawat mangsa banjir di sana, dalam masa terdekat.

“Beberapa menteri turun hari ini (di Johor) dan esok sebahagian lagi, dan saya akan atur dalam masa singkat (lawat mangsa banjir di Johor),” kata beliau.

Masuk hari kelima, jumlah mangsa di Johor terus meningkat kepada 33,149 orang yang dipindahkan ke 217 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi tadi.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan RM10 juta bantuan disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), bagi membeli barangan keperluan dan bantuan tambahan kepada penduduk terjejas banjir di negeri itu.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menjangkakan Kerajaan Perpaduan akan tumbang tidak lama lagi, Anwar berkata: “Tak apa lah, itu hak dia untuk merancang dan mengigau.”

Media sebelum ini melaporkan, Abdul Hadi dalam ucapannya pada sesi Dialog Ulama Negarawan: Mendepani Cabaran Globalisasi Media Masa Kini anjuran Yayasan Permata Ummah di ibu negara pada Selasa lepas, meramalkan kerajaan pimpinan Anwar akan tumbang dalam masa terdekat.

Terdahulu, sebelum menunaikan solat Jumaat, Perdana Menteri sempat meluangkan masa menikmati makan tengah hari di Medan Selera Sri Serdang di sini, diiringi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1122
Kongsi :
Previous post Kerja baik pulih runtuhan di Taman Maju, Taman Jasin Perdana dimulakan Isnin
Next post Mangsa banjir di Melaka melebihi 200 orang
Ubah saiz-+=