Acryl Sani dilantik sebagai KPN Ke-13 berkuat kuasa 4 Mei – Hamzah

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

PUTRAJAYA 30 April. – Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador berkuat kuasa 4 Mei ini.

Sebelum ini nama beliau disebut-sebut diangkat menjadi KPN selepas kontrak Abdul Hamid tamat pada 3 Mei depan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas menerima nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

HAMZAH…perlantikan Acryl Sani sebagai KPN baharu berkuat kuasa 4 Mei ini.

“Saya nak maklumkan selepas proses dilakukan SPP dan dipersetujui oleh semua ahli Suruhanjaya. Semua setuju Acryl Sani diangkat sebagai Ketua Polis Negara yang baharu termasuk Tan Sri Abdul Hamid Bador,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan surat pelantikan Ketua Polis Negara Ke-13 kepada Acryl Sani di sini, hari ini.

Hamzah berkata pelantikan Acryl Sani sebagai Ketua Polis Negara adalah sehingga 3 Oktober 2021 iaitu sehingga tempoh perkhidmatannya dalam polis tamat.

Beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada Acryl Sani dan menjelaskan majlis penyerahan tugas akan diadakan pada Isnin ini.

Hamzah berkata, Acryl Sani yang dilahirkan pada 3 Oktober 1961 berkelulusan Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2 Februari 1986 sebagai Kadet Asisten Superintendan Polis (ASP).

Katanya, Acryl Sani berpengalaman luas dalam tugas kepolisan dan pernah menjadi Pengarah di beberapa jabatan di Bukit Aman antaranya Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Jabatan Sumber Strategik dan Pengarah Teknologi (StaRT) serta Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) selain Pesuruhjaya Polis Sarawak dan Ketua Polis Perak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

823
Kongsi :
Previous post Doktor antara enam ditahan edar dadah
Next post Hasil tangkapan ikan dan udang merosot, belangkas selamatkan nelayan
Ubah saiz-+=