Adun Duyong, Mohd Noor Helmy dianugerahkan Datuk

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

SERI NEGERI 27 Ogos – Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Datuk Noor Helmy Abdul Halem antara 343 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka pada sesi ketiga Istiadat Penganugerahan sempena Sambutan Hari Jadi ke-74 Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.

Beliau antara 83 penerima termasuk Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Datuk Sapiah Mohd Nor, menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pada istiadat yang berlangsung di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh.

Terdahulu seramai lima penerima menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Manakala Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Malaysia Datuk Hisham Rusli dan Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Kamarudin Hashim antara empat penerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Sementara itu, seramai 16 penerima dianugerahkan Darjah Seri Melaka (DSM) atas perkhidmatan dan bakti terpuji kepada Negeri Melaka.

Ia diikuti seramai 36 penerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM) dan 70 penerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT).

Pada istiadat itu juga Ketua Unit Pemasaran dan Pengiklanan Melaka Hari Ini (MHI), Muhammad Hamzi Rosmani dan wartawan, Nur Saliawati Saberi antara  90 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Manakala 35 penerima pula menerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan empat lagi penerima Pingat Khidmat Lama (PKL).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6281
Kongsi :
Previous post Melaka buka taman pengeluaran makanan Machap tidak lama lagi
Next post Tertekan pedal minyak, MPV rempuh medan selera
Ubah saiz-+=