ADUN Melor meninggal dunia

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KOTA BHARU 30 April. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor Dr Yusnan Yusof meninggal dunia di kediamannya di sini awal pagi tadi.

Allahyarham, 53, menghembuskan nafas terakhir pada 2.28 pagi di kediamannya di Melor.

Perkara berkenaan disahkan seorang daripada anak Allahyarham Mohd Auzaie dalam hantaran di laman Facebook menerusi akaun DrYusnan Albadar.

“Dukacita dimaklumkan bahawa baba Dr Yusnan Albadar telah pergi menghadap Ilahi pada 2.28 pagi,” katanya.

Turut dimaklumkan bahawa solat jenazah diadakan selepas solat Jumaat di Masjid Muhammadi, Kota Bharu dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Pondok Haji Hassan, Ketereh.

Ketika dihubungi, Mohd Auzaie, 29, memaklumkan bahawa bapanya mengalami serangan jantung sebelum menghembuskan nafas terakhir pagi tadi.

“Arwah menghidap penyakit jantung sejak 2016 lagi,” kata anak sulung daripada enam beradik itu.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Romaini Mat Daud, 52, enam orang anak, dua menantu dan dua cucu.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dalam hantaran di Facebook merakamkan ucapan takziah buat ahli keluarga Allahyarham.

“Mewakili saf kepimpinan kerajaan Kelantan dan PAS Kelantan saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham Yusnan yang juga Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri sejak 2013, berusaha menggerakkan secara aktif Jawatankuasa Pengkajian Enakmen Negeri Kelantan dengan memfokuskan kepada usaha menyemak enakmen-enakmen sedia ada.

Malah, katanya sepanjang berkhidmat, Yusnan turut mencadangkan beberapa Rang Undang-undang (RUU) untuk dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan.

“Sebelum menjadi ADUN Melor pada 2013, Allahyarham Yusnan adalah bekas pembantu profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah berkhidmat sebagai Pakar Pendidikan di Education Directorate, Islamic Educational , Scientific and Cultural Organization (ISESCO), Rabat, Morocco,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1092
Kongsi :
Previous post Pejabat Speaker DUN Melaka raikan ketua jabatan
Next post Usahawan tidak berdaftar SSM digalakkan mohon SPIN untuk biaya perniagaan
Ubah saiz-+=