Agong kurnia 284 pingat kepada angkatan tentera, Panglima TUDM terima PGAT

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia (DKAT) 2022 sesi pertama yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara, Mohd Asghar selaku penerima kehormat, mendahului senarai 284 penerima pingat termasuk lapan pegawai tentera negara asing.

Pada istiadat itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan darjah kehormat terdiri daripada Darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) kepada 12 penerima termasuk dua pegawai tentera negara asing; Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) kepada 34 penerima termasuk seorang pegawai asing; Kesatria Angkatan Tentera (KAT) kepada 118 penerima dan Bentara Angkatan Tentera (BAT) melibatkan 114 penerima.

Pegawai tentera negara asing yang dikurniakan darjah kehormat melibatkan lima penerima darjah PGAT iaitu Panglima Tentara Nasional Indonesia (TNI) Jenderal TNI Andika Perkasa; Panglima Angkatan Tentera Diraja Thailand General Chalermphon Srisawasdi dan Chief of General Staff Armed Forces of Saudi Arabia General Fayyad Hamed Al Ruwaili.

Turut menerima pingat itu ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Muhammad Haszaimi Bol Hassan dan Commanding General of the Philippine Army Lieutenant General Romeo S Brawner Jr.

Penerima kehormat darjah PSAT pula terdiri daripada dua pegawai tentera dari Arab Saudi iaitu Major General Fahad Saad Aljohani dan Major General Pilot Ahmed Ali Al Dubais, manakala penerima kehormat darjah PAT ialah Brigedier General Abdullah Khaled S Alyamini, juga dari Arab Saudi.

Penganugerahan Pingat DKAT diberikan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berkelayakan atas jasa dan pengorbanan mereka dalam perkhidmatan ATM.

Hadir sama ke istiadat itu ialah Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Sesi kedua istiadat itu dijadualkan berlangsung di Istana Negara, Khamis ini.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1576
Kongsi :
Previous post Sujud syukur, penantian lapan tahun tertunai
Next post Hutang berkaitan Lebuhraya DASH perlu dijelaskan
Ubah saiz-+=