Agong zahir ucapan selamat ulang tahun tentera darat ke-89

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Darat Malaysia ke-89 kepada seluruh warganya termasuk veteran dan semua yang pernah berkhidmat dalam pasukan keselamatan itu.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada anggota Tentera Darat dalam menjaga kedaulatan negara serta pengorbanan mereka tanpa mengira masa dan penat lelah membantu rakyat yang berada dalam kesusahan ketika beberapa negeri dilanda bencana banjir buruk.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga perwira dan anggota Tentera Darat yang terkorban semasa bertugas, dan dalam melindungi kedaulatan serta keselamatan negara.

“Seri Paduka Baginda mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin,” demikian menurut catatan itu

Selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Seri Paduka amat menyanjung tinggi jasa, khidmat bakti dan pergorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga dan bekas anggota Tentera Darat dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara

“Semoga angkatan Tentera Darat terus menjadi sebuah angkatan yang disegani dan dihormati di persada antarabangsa,” menurut catatan itu.

Hari Tentera Darat disambut pada 1 Mac setiap tahun.

Sambutan Hari Tentera Darat ke-89 dengan tema ‘Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin’ tahun ini berlangsung secara fizikal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat di Kem Segenting di Port Dickson, Negeri Sembilan pada hari ini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1615
Kongsi :
Previous post Peniaga kecil mohon geran usahawan hingga RM20,000
Next post NADMA keluarkan notis kesiapsiagaan banjir Pantai Timur sejak 23 Feb
Ubah saiz-+=