Ahmad Faizal sekali lagi mohon maaf

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

SEPANG, 14 Jun – Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sekali lagi memohon maaf susulan kenyataannya berhubung sorakan pemain ke-12 skuad Harimau Malaya yang dikatakan menjadi punca kekalahan Malaysia di tangan Bahrain pada aksi Kelayakan Piala Asia 2023, Sabtu lepas.

“…saya rasa saya perlu memohon maaf kepada semua peminat. Saya juga seorang daripada peminat dan saya kira yang penting sekarang ini ialah untuk terus beri sokongan kepada pasukan kita tanpa berbelah bahagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Pusat Pengalaman Pemanduan di Litar Go Kart Sepang di sini hari ini.

Semalam, kenyataan Ahmad Faizal tular di media sosial selepas beliau tampil membela penjaga gol farizal Marlias susulan kesilapan dilakukannya hingga menyebabkan skuad kebangsaan tewas 1-2 kepada Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Katanya, faktor luaran termasuk membabitkan lebih 63,000 penonton di stadium ketika perlawanan itu berlangsung juga harus diambil kira atas kekalahan itu apabila sorakan mereka secara tiba-tiba dilihat menyebabkan pemain skuad negara hilang fokus sewaktu perlawanan.

Sementara itu, mengenai persediaan kontinjen negara ke Sukan SEA 2023 di Kemboja, Ahmad Faizal menggesa kesemua persatuan sukan untuk bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menghadapi temasya itu.

“Kita semua telah melihat prestasi para atlet kita di Sukan SEA di Hanoi tempoh hari dan Sukan SEA di Kemboja ini pula tidak kurang daripada 10 bulan daripada sekarang jadi persiapan perlu dibuat.

“Namun saya kira atlet yang telah mewakili negara di Sukan SEA Hanoi juga berpeluang untuk mewakili negara. Maka saya harap agar mereka semua (persatuan) untuk segera mengambil langkah-langkah proaktif bagi Road to Cambodia dan fokus kepada latihan perlu dibuat segera,” katanya.

Mengenai DEC yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, Ahmad Faizal berkata DEC adalah satu daripada komponen kepada Pelan Strategik Perniagaan unjuran lima tahun Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Ia adalah sebuah fasiliti di kawasan seluas 28 hektar untuk dijadikan lokasi pembelajaran berterusan pemandu-pemandu di Malaysia agar lebih mahir mengendalikan kenderaan di atas jalan raya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1059
Kongsi :
Previous post Hamid Gurkha meninggal dunia
Next post Acara kebudayaan mampu rancak pelancongan Melaka-Pulau Pinang
Ubah saiz-+=