Aidilfitri: Daging lembu di bawah harga kawalan, jangan naikkan harga – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 27 April – Amaran tegas diberikan kepada peniaga daging lembu agar tidak menaikkan harga jualan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba.

EXCO Hal Ehwal Pengguna Negeri Ngwe Hee Sem berkata, hal itu disebabkan barangan mentah berkenaan tersenarai antara 19 barangan dibawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2022.

Beliau berkata, bagi daging lembu tempatan harga ditetapkan RM39 sekilogram bagi runcit dan RM36 untuk jualan borong namun harga jualan itu tidak termasuk bahagian batang pinang.

“Dalam tempoh sehari dua sebelum hari raya pastinya jualan daging lembu akan mendapat permintaan dan peniaga hanya dibenarkan menjual dengan harga ditetapkan.

“Oleh itu penguatkuasa KPDNHEP akan turun ke lapangan untuk memantau harga jualan dan sekiranya didapati ada peniaga yang bertindak menaikkan harga tindakan kompaun akan diambil, kita tidak akan berkompromi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2022 Peringkat Melaka, di Pasaraya Mydin Ayer Keroh, hari ini.

Menurut beliau, peniaga perlu peka dan tidak mengambil mudah dengan skala harga yang sudah ditetapkan oleh kerajaan.

“Antara barangan lain yang tersenarai dalam (SHMMPHRP) adalah daging kerbau import, ikan kembung dan mabong, kacang tanah, kelapa parut, kelapa biji serta cili merah termasuk juga kacang panjang serta cili kering.

“Penentuan harga barangan ini dibuat mengikut kesesuain harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut Hee Sem berkata, sepanjang pelaksanaan skim ini juga seramai 70 penguatkuasa KPDNHEP akan digerakkan bagi memantau dan memeriksa harga yang jualan ditetapkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2959
Kongsi :
Previous post Polis belum terima laporan isu babi hilang
Next post Ukir senyuman buat anak-anak Rumah Kasih Tun Abdul Aziz
Ubah saiz-+=