Aidilfitri dalam kesuraman

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 30 April – Aidilfitri kali ini amat suram buat Zarni Yuherlina Ansharuddin, 46, kerana dia runsing memikirkan nasib suami yang kini sedang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

Wanita ini berkata, dalam kejadian 16 Ramadan lalu suaminya Zulkarnaeni Lubis, 50, melecur 48 peratus ketika cuba membantunya memadamkan api yang marak dari tong gas.

Ibu kepada empat anak ini berkata, berikutan itu Aidlfitri bagi mereka anak-beranak tahun ini disambut secara ala kadar.

“Ketika itu saya sedang menyiapkan bekal suami untuk berbuka puasa. Semasa menghidupkan api dapur, tiba-tiba sahaja tong gas terbakar.

“Suami yang berada di bilik air cuba membantu dengan menjirus air dan ketika itulah api menyambar muka, badan dan tangannya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah sewanya di Bukit Beruang, di sini.

Katanya, sebelum ini, segala persiapan raya dilakukan suaminya yang bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dia memaklumkan, Selasa ini (2 Mei), suaminya yang masih berada di ICU Hospital Melaka terpaksa melalui satu lagi pembedahan kulit selepas prosedur awal sebelum ini tidak berjaya.

“Apa yang boleh saya lakukan saat ini adalah terus berdoa agar ada keajaiban daripada Yang Maha Esa untuk suami pulih dan sihat kembali,” katanya yang bekerja sebagai pembantu dapur dengan gaji RM70 sehari.

Orang ramai ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini bolehlah berbuat demikian menerusi akaun bank milik Zarni Yuherlina 6928208203 (Public Bank).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1203
Kongsi :
Previous post Rumah Terbuka DUN Bukit Katil bantu 20 usahawan tempatan
Next post Buruh kasar mengaku bersalah lakukan aksi ‘wheelie’
Ubah saiz-+=