Aidilfitri tanpa telatah lucu Mohd Akif runtun jiwa ibu ayah

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

TANJUNG BIDARA 12 Mei. – Aidilfitri esok amat meruntun jiwa sepasang suami isteri serta keluarga kerana ia bakal diraikan tanpa keletah anak sulung yang kini terlantar di Hospital Melaka akibat parah selepas kereta dinaiki bersama keluarganya dihempap pokok awal bulan ini.

Aidilfitri tanpa Mohd Akif Asyraf Muhammad Rasidi, 6, amat mencabar ketabahan Muhammad Rasidi Abu Bakar, 40, dan Fatin Hanisah Mohd Puad, 30, kerana anak sulung mereka itu memang dikenali dengan telatah lucunya yang membuatkan sesiapa sahaja terhibur.

Muhammad Rasidi.

Muhammad Rasidi berkata, setiap kali mengenangkan nasib anaknya yang sekarang dirawat di Hospital Melaka selepas kepalanya dibedah, beliau seakan-akan tidak mahu meraikan Aidilfitri.

“Namun demikian, saya tetap kuatkan semangat untuk menyambut Aidilfitri dengan penuh kesabaran kerana saya memahami, kemalangan itu bukan kehendak sesiapa pun.

“Sebaliknya ia berlaku atas suratan takdir dan kita harus berikhtiar untuk menyembuhkannya walaupun terpaksa melalui detik yang amat sukar,” katanya di Kampung Padang Kemunting, di sini hari ini.

Beliau berkata, setiap pagi Aidilfitri, Mohd Akif tidak akan terlepas daripada menggayakan pakaian baharu di hadapannya dan isteri tetapi kali ini, tiada lagi kelibat anak kesayangannya itu bergaya dengan baju Melayu dan kemeja baharu.

Sementara itu Fatin Hanisah berkata, beliau sedih apabila mengenangkan beberapa pasang baju yang sudah dibeli tidak akan dipakai anaknya itu pada Aidilfitri kali ini.

“Kami sempat beli beberapa pasang pakaian baharu untuk Mohd Akif dan dua adiknya, Arisa dan Afia, masing-masing berusia lima dan tiga tahun tetapi hanya adiknya yang sempat mengenakan pakaian baharu manakala Mohd Akif hanya terbaring atas katil di wad,” katanya ketika dihubungi di Hospital Melaka.

Sejak kejadian kereta dinaiki mereka sekeluarga dihempap pokok pada 2 Mei lalu yang menyebabkan Mohd Akif parah di kepala, Fatin Hanisah sentiasa menjaga anak kesayangannya itu.

Sejurus kejadian jam 6.30 petang di Hutan Simpan Sungai Udang di Jalan Sungai Udang-Masjid Tanah itu, Mohd Akif dirawat di Hospital Kem Terendak, Sungai Udang sebelum dipindahkan ke Hospital Seremban.

Dia kemudian menjalani pembedahan membuang darah beku dalam kepalanya di Hospital Seremban pada 4 Mei lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka lima hari kemudian dan dirawat hingga sekarang.

Fatin Hanisah berkata, Mohd Akif amat menggemari rendang ayam yang dimakan dengan lemang dan nasi himpit.

Namun demikian, beliau tetap bersyukur kerana Mohd Akif beransur pulih dan sudah mampu mengenalinya setiap kali namanya dipanggil berbanding keadaannya sepanjang seminggu selepas kemalangan itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

597
Kongsi :
Previous post PKP 3.0: Melaka benarkan solat Aidilfitri dan semua aktiviti pengimarahan masjid dan surau
Next post Dr Mahathir mohon maaf tidak patuh SOP, sedia terima tindakan
Ubah saiz-+=