PKP 3.0: Melaka benarkan solat Aidilfitri dan semua aktiviti pengimarahan masjid dan surau

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 12 Mei – Semua aktiviti pengimarahan masjid dan surau di negeri ini termasuk solat sunat Aidilfitri esok dibenarkan sepanjang tempoh pelaksaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di kawasan PKP mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat dalam kenyataannya hari ini berkata, aktiviti lain dibenarkan melibatkan orang awam termasuklah solat Jumaat, solat fardhu berjemaah, solat Aidilfitri, pengurusan solat jenazah di masjid, aktiviti singgah solat dan penyelenggaraan masjid oleh petugas.

Selain daripada itu katanya, adalah tidak dibenarkan dan perlu ditutup kepada orang awam.

“Pelaksanaan keseluruhan aktiviti di masjid dan surau yang dibenarkan pula hendaklah mengambil kira keperluan penjarakan sosial dan mengelakkan unsur 3S iaitu sesak, sempit, sembang dekat.

“Pentadbiran masjid dan jemaah yang hadir juga hendaklah mengamalkan “3W” iaitu iaitu sentiasa menjaga kebersihan diri terutama tangan, sentiasa memakai pelitup mulut dan hidung serta sentiasa menasihatkan jemaah agar mematuhi garis panduan dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan JAIM,” katanya.

Tambahnya, kapasiti jemaah untuk aktiviti yang dibenarkan adalah mengikut kapasiti bangunan masjid atau surau dengan penjarakan fizikal sekurangkurangnya 1.5 meter selain syarat jemaah tidak merentasi kariah.

“Hanya ruangan bangunan masjid dan surau sahaja yang boleh digunakan oleh jemaah dan pemasangan khemah atau bangsal di halaman masjid atau surau adalah tidak dibenarkan.

“Solat Aidilfitri pula hendaklah dibuat secara ringkas dan jemaah hendaklah bersurai setelah selesai khutbah,” katanya sambil menambah semua garis panduan itu terpakai di kawasan PKP sepanjang PKP 3.0 bermula hari ini sehingga 7 Jun ini.

Sebarang pertanyaan berkaitan boleh dirujuk kepada Bahagian Pengurusan Masjid JAIM melalui talian 06-2882639/ 2641

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

923
Kongsi :
Previous post Alhamdulillah, umat Islam di Melaka boleh solat Aidilfitri di masjid
Next post Aidilfitri tanpa telatah lucu Mohd Akif runtun jiwa ibu ayah
Ubah saiz-+=