ANAK CEMERLANG UPKK: BAPA OKU, IBU BERKERUSI RODA TERHARU SOKONGAN TOK RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

TANJUNG BIDARA 15 September – Di sebalik kejayaan seorang anak memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), tersimpan kisah keluarga yang cukup menyentuh apabila bapanya merupakan orang kurang upaya (OKU), manakala ibunya pula menggunakan kerusi roda.

Namun kekurangan fizikal bukan penghalang buat keluarga itu untuk memastikan pendidikan dan kejayaan anak terus menjadi keutamaan.

Anak pasangan berkenaan, Nur Zara Shafiqah Shafiee, 11, antara 77 penerima UPKK cemerlang yang diraikan menerusi Program Motivasi Keibubapaan dan Pelajar ‘Sinergi: Anak Cemerlang, Ibu Bapa Gemilang’ sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Villa d’Aqua, di sini.

Penghargaan kepada pelajar cemerlang itu disampaikan sendiri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merangkap Adun Tanjung Bidara, yang turut menyuntik semangat kepada anak-anak supaya terus meningkatkan prestasi dalam pendidikan agama dan akademik.

Bapa Nur Zara, Shafiee Tamrin, 55, berkata pengiktirafan yang diterima anaknya memberi makna besar kepada keluarga selain menjadi pembakar semangat untuknya terus mencapai kejayaan.

“Walaupun saya OKU dan isteri menggunakan kerusi roda, kami tetap mahu anak-anak belajar dan berjaya. Penghargaan seperti ini memberi semangat kepada anak untuk terus berusaha,” katanya.

Ibunya, Zaidahyana Hashim, 49, turut menyatakan rasa terharu dengan sokongan dan perhatian Ketua Menteri serta Kerajaan Negeri terhadap kejayaan anaknya, selain menyifatkan penghargaan berkenaan sebagai motivasi kepada anak-anak untuk terus berjaya.

“Sebagai ibu, saya sangat menghargai usaha Ketua Menteri yang sentiasa mengambil berat mengenai pendidikan dan kecemerlangan anak-anak di DUN Tanjung Bidara.

“Penghargaan seperti ini memberi semangat kepada anak-anak untuk terus berusaha dan pada masa sama membuatkan ibu bapa turut berasa dihargai,” katanya.

Terdahulu, program berkenaan turut menampilkan sesi motivasi bersama tokoh motivasi, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

641
Kongsi :
Previous post WRUR TANJUNG BIDARA ‘HIDUPKAN’ WARISAN, DONDANG SAYANG TARIK MINAT ANAK MUDA