
WARGA EMAS PUJI JIWA RAKYAT TOK RAUF, DOA TERUS PIMPIN MELAKA
TANJUNG BIDARA 15 September – Bukan setiap hari berpeluang bersemuka dengan pemimpin negeri, namun bagi dua warga emas dari Lubok Redan, pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menjadi pengalaman yang cukup bermakna dan membanggakan.
Bagi Zaiton Ibrahim, 73, peluang bertemu dan berbual secara bersemuka dengan Ab Rauf buat kali pertama meninggalkan kesan tersendiri, malah beliau kagum melihat sisi mesra pemimpin itu yang disifatkannya berbeza daripada tanggapan awal.
Ibu kepada lapan anak itu berkata, Ab Rauf yang pada pandangan awalnya kelihatan tegas, ternyata seorang yang baik, ramah dan sopan apabila ditemui secara dekat.
Malah, kebolehannya berpantun turut menarik perhatian Zaiton yang menyifatkan pertemuan berkenaan sebagai satu pengalaman yang membanggakan.
“Saya bangga dapat berjumpa dengan Datuk Rauf secara dekat dan dapat bercakap dengan beliau. Selama ini kita tengok beliau sebagai Ketua Menteri, tetapi apabila berjumpa, orangnya baik, ramah dan sopan.
“Saya harap beliau terus menjadi Ketua Menteri supaya Melaka kekal aman, makmur dan mendapat keberkatan Allah SWT,” katanya.
Zaiton berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Program WCare Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Pendaftaran Ujian Subsidi Mamogram dan Ujian HPV DNA Percuma sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di Balairaya Lubok Redan, di sini, pada Isnin.
Sementara itu, Siti Rokiah Ali, 71, turut berkongsi rasa bangga kerana berpeluang bertemu Ab Rauf buat kali pertama, malah menyifatkan pendekatan Ketua Menteri yang sering turun padang sebagai bukti beliau dekat dengan rakyat.
Ibu kepada lima anak itu berkata, pendekatan berkenaan memberi ruang kepada penduduk untuk bersemuka dengan pemimpin, selain menyampaikan masalah dan pandangan secara terus tanpa perantara.
“Datuk Rauf sangat menjiwai rakyat. Beliau berani berdepan dengan rakyat dalam apa juga isu dan sanggup membantu rakyat dalam pelbagai perkara.
“Program WRUR ini perlu diteruskan supaya rakyat dapat berjumpa dengan pemimpin dan menyampaikan masalah mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


