PIDATO RUKUN NEGARA SEMAKIN SUBUR, CATAT 10,494 PENYERTAAN TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 15 September – Penghayatan anak-anak muda Malaysia terhadap Rukun Negara semakin semakin subur apabila seramai 10,494 peserta mengambil bahagian dalam Pertandingan Pidato Rukun Negara tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan seramai 1,182 penyertaan berbanding 9,312 peserta direkodkan pada tahun lalu.

Katanya, jumlah penyertaan yang semakin meningkat menjadi petunjuk jelas bahawa penghayatan terhadap Rukun Negara semakin mendapat perhatian dalam kalangan anak-anak Malaysia.

“Lebih membanggakan apabila penyertaan tahun ini bukan sahaja datang dari Melaka, malah melibatkan peserta dari seluruh negeri di Malaysia termasuk Perlis, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Buat julung kalinya, jumlah penyertaan berjaya menembusi angka lima digit pada tahun ini berbanding tahun lalu. Bagi saya, angka ini Ia satu isyarat jelas bahawa Rukun Negara masih utuh dalam jiwa anak Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tahun 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Timbalan Menteri Perpaduan Negara R Yuneswaran; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP) Prof Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah.

Menurut Ab Rauf, perkembangan pertandingan itu cukup membanggakan kerana apa yang bermula sebagai sebuah ilham di Melaka enam tahun lalu kini berkembang menjadi gerakan nasional.

“Jika enam tahun lalu, pertandingan ini bermula dengan sebuah ilham, hari ini ia berkembang menjadi sebuah gerakan nasional yang menghimpunkan anak-anak Malaysia untuk menyuarakan makna perpaduan, kestabilan dan masa depan negara.

“Inilah bukti bahawa cetusan yang bermula di Melaka kini bergema ke seluruh Malaysia. Perkembangan ini turut menjadi antara legasi bermakna Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam dalam menyemai kecintaan kepada negara dan membina jiwa patriotik anak-anak Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

486
Kongsi :
Previous post WARGA EMAS PUJI JIWA RAKYAT TOK RAUF, DOA TERUS PIMPIN MELAKA