MELAKA PERLUAS GERAN PIDATO, HARGAI KEGIGIHAN SEKOLAH DAN INSTITUSI PENDIDIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 15 September – Melaka memperluas Geran Penyertaan Tertinggi Pertandingan Pidato Rukun Negara hingga tempat ketiga sebagai penghargaan kepada sekolah dan institusi pendidikan yang gigih menggerakkan penyertaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu merupakan manifestasi penghargaan Kerajaan Negeri kepada para pendidik yang tekun membina jati diri, menanam kecintaan kepada negara dan menghidupkan penghayatan Rukun Negara.

“Bagi menghargai sambutan yang cukup luar biasa ini, Kerajaan Negeri tidak mahu sekadar dengan ucapan tahniah, tetapi kita memperluas geran penyertaan sebagai pengiktirafan kepada sekolah dan institusi pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka Tahun 2026 di Ballroom Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama Timbalan Menteri Perpaduan Negara R Yuneswaran; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; serta Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP) Prof Madya Dr. Mohamad Ainuddin Iskandar Lee Abdullah.

Pertandingan berkenaan melibatkan lima kategori iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Institut Pengajian Tinggi (IPT), Bukan Melayu dan Awam.

Menurut Ab Rauf, pentas pidato itu juga menjadi platform untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja petah menyusun kata, tetapi teguh prinsip dan jelas pendirian.

“Kita mahu membina keyakinan generasi muda yang suaranya mampu menyatukan perbezaan, menjernihkan kekeliruan dan mempertahankan masa depan Malaysia.

“Rukun Negara kekal menjadi kompas utama penyatuan nasional walaupun negara kini berdepan perubahan teknologi yang mengubah cara masyarakat berkomunikasi dan menyuarakan pandangan.

“Kita mungkin datang dari pelbagai penjuru, tetapi kita bertemu pada satu pegangan, iaitu Rukun Negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

846
Kongsi :
Previous post PIDATO RUKUN NEGARA SEMAKIN SUBUR, CATAT 10,494 PENYERTAAN TAHUN INI